Sabtu, 2 April 2011

Rasuah Membawa Padah,Pegawai Kastam Terkantoi Sudah !!

Gejala Rasuah


PUTRAJAYA: Seramai 62 pegawai kastam pelbagai pangkat berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak operasi besar- besaran bersepadu dikenali Ops 3b di lima pelabuhan seluruh negara, Isnin lalu.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu 53 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita.

Beliau berkata, sehingga semalam, 17 masih direman manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan. Pegawai kastam dari Pelabuhan Klang, Selangor paling ramai ditahan iaitu 48 orang.
“Hasil siasatan mendapati, ada pegawai mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk setiap borang K1 iaitu borang pengisytiharan kastam sejak lima bulan lalu, malah ada yang mengaku pihak tertentu memasukkan RM10,000 setiap bulan ke dalam akaun dan kita mengesan tujuh transaksi dijalankan.

“Malah, kami turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan emas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mustafar berkata, kelmarin SPRM turut menahan beberapa lagi pegawai dan menemui tiga beg wang tunai berjumlah RM625,250, selain lima jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 serta dua pistol tiruan dan 241 peluru.
Katanya, di rumah pengarah kastam yang masih ditahan reman, pihaknya menemui wang tunai bernilai RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek.

“Kita masih menyiasat harta dimiliki pengarah berkenaan kerana dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgi, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, semua itu masih dalam siasatan,” katanya.

Mustafar berkata, hasil operasi itu juga, SPRM mengesan lebih RM10 bilion diseludup dan dihantar ke luar negara secara haram.
Beliau berkata, fokus utama pelaksanaan operasi itu bagi mendapatkan kembali hasil pendapatan kerajaan serta membersihkan amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Ia berikutan ada maklumat menyatakan pegawai kastam di pelabuhan seluruh negara meminta dan menerima rasuah daripada ejen penghantaran untuk mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan proses Borang K1.

Operasi dilaksanakan di Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Kuantan, Pahang; Pelabuhan Pulau Pinang; Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

“Usaha kita adalah mendapatkan kembali pendapatan kerajaan yang boleh diberikan semula kepada masyarakat. Kerajaan kehilangan berbilion ringgit disebabkan amalan ‘tangan kotor’ yang dilakukan pihak tertentu,” katanya.

Berita Dari Harian Metro :
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SPRMtahan62pegawaikastam/Article/index_html
 
Syabas sy ucapkan kpd BPR kerana telah membanteras Gejala rasuah yg tengah  kritikal kt negara kita nie.kalau xada BPR msti abis duit rakyat disalah gunakn oleh pihak yg langsung x bertanggung jawab.diharapkan smua kakitangan kerajaan haruslh bekerja dgn telus dan jujur barulh negara kita nie bersih tnpa rasuah.


1 MALAYSIA!!
Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan.

 Benci lihat muka anak








MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.
“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.

Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.
“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.

“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.

Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.
Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.
Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.

“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.

“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.

Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.

“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.


Berita dari HARIAN METRO:  http://www.hmetro.com.my/articles/Bencilihatmukaanak/Article