Ahad, 25 Mac 2012

TANGGUNGJAWAB ISTERI TERHADAP SUAMI


 


  1. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Sesiapa sahaja isteri yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadap pemergiannya maka ia akan masuk syurga".
  2. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Apabila seorang isteri telah mendirikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan ramadhan dan memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya maka diucapkan kepadanya masuklah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki".
  3. Seorang perempuan datang ke hadapan Nabi s.a.w. lalu berkata " Wahai Rasulullah s.a.w., saya adalah wakil kaum wanita untuk menghadap tuan. Berperang itu diwajibkan oleh Allah swt hanya atas kaum lelaki, jika mereka terluka maka mendapat pahala dan kalau terbunuh maka mereka adalah tetap hidup di sisi Allah swt, dan dicukupkan rezeki (dengan buah-buahan syurga). Dan kami kaum wanita selalu melakukan kewajipan terhadap mereka (iaitu melayani mereka dan membantu keperluan mereka) maka apakah kami boleh ikut memperolehi pahala berperang itu?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud " Sampaikanlah kepada wanita-wanita yang kamu jumpa bahawa taat kepada suami dengan penuh kesedaran maka pahalanya seimbang dengan pahala perang membela agama Allah swt, tetapi sedikit sekali daripada kamu sekalian yang menjalankannya"
  4. Wajib bagi seorang isteri :
    1. Merendahkan pandangannya di hadapan suaminya.
    2. Tidak khianat terhadap suaminya ketika ketiadaannya termasuk juga hartanya.
    3. Menunaikan hajat suami bila diajak oleh suaminya biarpun sewaktu sibuk atau susah ( Rasulullah mentamsilkan walau berada di punggung unta sekalipun)
    4. Meminta izin suami untuk keluar dari rumahnya.
  5. Diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda maksudnya: "Sesungguhnya semua burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit meminta ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya dan sentiasa dalam keredhaan suaminya. Dan sesiapa sahaja di kalangan isteri yang tidak berbakti kepada suaminya maka ia mendapat laknat dari Allah swt dan malaikat serta semua manusia".
  6. Sesiapa sahaja di kalangan isteri yang bermasam muka di hadapan suaminya maka ia dalam kemurkaan Allah swt sehingga ia dapat membuat suasana yang menggembirakan suaminya dan mohon kerelaannya.
  7. A'isya r.a. berkata: "Wahai kaum wanita, seandainya kamu mengerti kewajipan dirimu terhadap suamimu tentu seorang isteri akan menyapu debu dari kedua telapak kaki suaminya dengan mukanya."
  8. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya "Jika seorang isteri berkata kepada suaminya 'tidak pernah aku melihat kebajikanmu sama sekali' maka hancur leburlah pahala amal kebajikannya."
  9. Nabi s.a.w. bersabda " Sesiapa isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab-sebab yang sangat diperlukan maka haramlah bau syurga ke atasnya."
  10. Hadith Nabi s.a.w. "Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."
  11. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya "Urusan pertama yang ditanyakan kepada isteri pada hari qiamat nanti ialah mengenai solatnya dan mengenai urusan suaminya (apakah menjalankan kewajipannya terhadap suaminya atau tidak)"
  12. Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: " 4 perempuan yang berada di neraka ialah
    1. Perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya; suaminya tiada di rumah dia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia mengherdiknya.
    2. Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang di luar kemampuan si suami.
    3. Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia enggan berbakti kepada Allah swt dan enggan berbakti kepada suaminya ( seorang isteri yang bersifat begini akan dilaknati Allah swt kecuali bertaubat)
    4. Wanita yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihakan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki).
  13. Al-Hakim bercerita bahawa seorang perempuan berkata kepada Nabi s.a.w. "Sesungguhnya putera bapa saudaraku melamarku, oleh itu berilah peringatan kepadaku tentang kewajipan seorang isteri terhadap suaminya, kalau kebajikan itu sesuatu yang mampu aku jalankan, maka aku bersedia dikahwinkan." Maka baginda bersabda: " Andainya mengalir darah dan nanah dari kedua lubang hidung suaminya lalu dia (isteri) menjilatnya maka itupun belum dianggap menjalankan kewajipannya terhadap suaminya. Sekiranya diperbolehkan untuk manusia bersujud kepada manusia lain, nescaya daku perintahkan para isteri sujud di kaki suami mereka". Berkatalah perempuan itu, " Demi Tuhan yang mengutuskan tuan, aku tidak akan berkahwin selama dunia ini masih ada."
  14. Seorang isteri hendaklah menyedari bahwa seorang suami bagi isteri adalah bagaikan ayah bagi seorang anak kerana taatnya seorang anak kepada ayahnya dan memohon keredhaannya adalah wajib. Seorang suami pula tidak wajib mentaati isteri.
  15. Menjadi pendorong serta penasihat dalam hal-hal agama serta kebajikan.
  16. Memahami hal-hal yang digemari dan yang dibenci oleh suami.
  17. Segala tingkah laku dan perbuatannya hendaklah menyenangkan hati suami.
  18. Sentiasa menambahkan ilmu agamanya serta amalannya dengan apa cara sekalipun seperti dengan membaca serta mengikut majlis-majlis agama.
  19. Demi cinta terhadap suaminya, seorang isteri akan melakukan khidmat dan bakti kepada suaminya dari sebesar-besar perkara sehinggalah kepada yang sekecil-kecilnya seperti mengerat kuku, memotong misai dan meminyakkan rambut suami.
  20. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Siti Fatimah r.a.: " Ya Fatimah, apabila seorang wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya maka Allah swt akan memberinya minum dari air syurga yang mengalir di sungai-sungainya dan dijadikan kuburnya menjadi sebuah taman yang indah dari taman-taman syurga."
  21. Sentiasa menyediakan air di sisi suami. Selama ia berbuat demikian, selama itulah ia didoakan keampunan oleh para malaikat. Dikatakan sekiranya isteri membawakan air kepada suaminya dengan senyuman maka ia mendapat pahala amalan puasa sunat satu tahun.
  22. Memasak mengikut kesukaan atau selera suami.
  23. Menampal baju atau pakaian suami yang koyak.
  24. Siapkan barang-barang keperluannya seperti sikat, celak, miswak, cermin dan minyak wangi di dalam satu bekas (sunnah).
  25. Ikut kemahuan suami dalam masa bergurau senda, memicit, mengipas dan sebagainya.

Manusia berleher zirafah


Adat yang menyeksa diri bagi wanita warga suku Padaung, sebuah suku di Thailand di bahagian utara. Adakah tindakan ini boleh dianggap suatu estetika/keindahan budaya atau siksaan bagi mereka, tapi inilah yang dialami wanita-wanita suku Padaung.

“Leher, bagian tubuh yang menghubungkan badan dengan kepala, akan diletakkan dengan gelang logam. Semakin tua semakin banyak (dan panjang). Leher direntang oleh gelang. Bahkan ada yang panjangnya sampai 40 cm [hampir setengah meter].”

Percaya atau tidak, berat logamnya sendiri lebih dari lima kilo ! logam itu akan menekan ke bawah dan juga memaksa kepalanya naik ke atas.Tradisi seperti ini kini semakin menjadi-menjadi. Apa tujuannya? jawapannya adalah wang.

Haruskah logam itu dibuang atas nama kemanusiaan? Jangan. Jika tiba-tiba gelang itu dilepas secara tiba-tiba, akan membahayakan keselamatan. Tulang leher yang selama ini dibantu logam akan menjadi lemah. Padahal leher itu sudah memanjang. Tahu sendiri kan akibatnya kalau dilepas tiba-tiba? Sesak nafas yang boleh membawa pada kematian!








Gambaran Hari Kiamat


 


✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.