Rabu, 22 Jun 2011

** Kajol Dipenjara **








      “Sebagai orang Islam, perbuatan kamu haram. Walaupun kamu mengaku Orang Asli dan bukan Islam, berdasarkan dokumen dikemukakan di hadapan saya, kamu orang Islam,” kata Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Aris Fadhilah Sulaiman ketika menjatuhkan hukuman terhadap penyanyi mak nyah tersohor di Kelantan, Kajol.

Kajol, 25, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Jeffri dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai di tapak ekspo, 15 April lalu.

Hukuman itu sepatutnya berkuat kuasa semalam, namun ditangguhkan selepas tertuduh merayu semua hukuman dijatuhkan ke atasnya dikemukakan semula kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan semula pada prodising akan datang.

Terdahulu, kes membabitkan Kajol disebut kali pertama jam 10 pagi selepas diberi tempoh untuk hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding perbicaraan dilakukan pihak pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.

Sejurus memasuki kandang tertuduh, Kajol yang berseluar jeans biru dan berbaju panjang berwarna hitam mengaku salah atas pertuduhan serta fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aris Fadhilah.

Ketika nasihat diberikan, tertuduh dilihat menyampuk dengan berkata: “Saya bukan orang Islam, tetapi Orang Asli”, menyebabkan hakim bertegas kerana dokumen dikemukakan di hadapannya mengesahkan tertuduh beragama Islam.
“Saya hukum apa yang dikemukakan di hadapan saya. Sekali lagi kamu menyampuk, saya akan memberikan hukuman lain. “Perbuatan kamu lakukan meninggalkan kesan besar kepada masyarakat terutama adik-adik kamu,” kata Aris Fadhilah menyebabkan tertuduh terdiam dan mendengar nasihat diberikan.

Bagi kesalahan berkenaan, Kajol didakwa mengikut Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan Bilangan 2/85 kerana berpakaian tidak senonoh dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa Syarie negeri, Wan Salina Wan Hussin.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Kajol cuba menayangkan alat sulitnya kepada sepasukan anggota penguat kuasa agama, kononnya bagi membuktikan dirinya wanita tulen sebaik ditahan ketika membuat persembahan di tapak ekspo di bandar ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, 15 April lalu, penyanyi berkenaan melakukan perbuatan itu bagi mengelak ditahan kerana kesalahan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai, namun kerenahnya tidak dilayan.

** Lambaian Pelajar Sekolah **





        Lambaian serta tangisan pilu seorang pelajar sekolah rendah yang terbaring di atas jalan raya menyentuh perasaan orang ramai selepas motosikal ditunggang ibunya dirempuh sebuah kereta di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, Mohd Hakimi Musazali, 10, bersama ibunya, Roziah Basah, 35, dari Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi cedera parah selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah Produa Kancil dari belakang.

Pada masa sama, sebuah Produa Viva dipandu seorang wanita bersama anaknya dari arah Kuala Sungai Baru terbabas dan terbalik ketika cuba mengelak dua beranak itu yang terbaring di atas jalan.

Difahamkan, motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Roziah berada di tengah jalan untuk membelok masuk ke rumahnya sebelum dirempuh dari belakang Perodua Kancil terbabit.

Berikutan rempuhan kuat itu, Roziah terpelanting kira-kira lima meter menyebabkannya cedera parah di kepala, perut dan kaki kiri manakala Mohd Hakimi yang juga pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) Yok Sin, Kuala Sungai Baru, di sini, pengsan serta cedera di kaki kanan.

Pemandu Perodua Viva itu, Munirah Mohd Nazir, 27, berkata, dia dalam perjalanan dari Taman Seri Aman, Masjid Tanah ke Kuala Linggi untuk berniaga apabila melihat sebuah Perodua Kancil mengekori belakang motosikal dua beranak itu. “Saya lihat kereta itu dipandu agak kelam-kabut dan laju manakala motosikal dinaiki mangsa ditunggang perlahan dan ketika tiba di satu simpang, pemandu kereta Kancil tiba-tiba merempuhnya dari belakang.

“Dua beranak itu terpelanting di atas jalan raya manakala Pemandu Kancil itu memecut laju ke arah Kuala Sungai Baru selepas merempuh motosikal itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Munirah berkata, dia gagal mengelak lalu terlanggar motosikal yang tercampak di tepi jalan menyebabkan keretanya berpusing beberapa kali dan terbabas lalu terbalik.

“Ketika cuba elak daripada merempuh dua beranak itu, saya terpusing stereng kereta ke kiri lalu melanggar tembok rumah dan tiang elektrik.

“Kalau tidak mengelak pasti mereka akan dilanggar dan saya berharap dua beranak itu selamat,” katanya yang memberitahu dia bersama anaknya, Muhamad Qayyum Rozaidi Azizi yang berusia tiga tahun tidak cedera dalam kejadian itu. Roziah yang cedera parah di kepala, perut serta kaki kiri manakala anak sulungnya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Jurucakap Hospital Melaka mengesahkan wanita itu ditempatkan di Zon Merah Unit Kecemasan hospital berkenaan berikutan kecederaan parah dialami memerlukan pembedahan segera.

“Mangsa kini kritikal kerana pendarahan di kepala dan berkemungkinan besar akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut manakala pembedahan kaki kirinya yang patah akan dilakukan segera,” katanya.