Rabu, 3 Ogos 2011

Khairul Fahmi Che Mat Pulang cincin


        Kontroversi putus tunang penjaga gol skuad bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 22, dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi, 22, hampir menemui noktah apabila hero Harimau Malaya itu mengesahkan akan memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga bekas tunangnya dalam masa terdekat.


Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan segala urusan dilakukan mengikut adat Melayu termasuk menyerahkan semula cincin pertunangan yang bakal disempurnakan keluarga angkatnya di Kuala Lumpur.


Bagaimanapun, kata Khairul Fahmi, dia tidak turut serta ketika urusan penyerahan cincin itu kerana terpaksa ke Slovakia beberapa minggu bagi menjalani latihan intensif bersama skuad Olimpik.

“Saya sudah meminta keluarga angkat di Kuala Lumpur menyerahkan cincin pertunangan yang saya terima mengikut adat Melayu sebagai tanda tiada lagi ikatan pertunangan. Selepas ini saya harap tidak timbul lagi masalah lain kerana saya mahu ia diselesaikan secara baik.

“Penyerahan cincin akan dilakukan dalam masa terdekat namun malangnya saya tidak berada di sini kerana terpaksa menjalani latihan intensif bersama skuad Olimpik di Slovakia,” katanya ketika di temui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, malam kelmarin.


14 motor 3 kereta dibakar kerana khianat


    Tiga kereta dan 14 motosikal terbakar dipercayai perbuatan khianat dalam kejadian di Pangsapuri Sri Kota, Bandar Tun Razak, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, penduduk berusaha memadamkan kebakaran hampir 10 minit sementara menunggu pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Halijah, 57, berkata, dia dengar jeritan daripada anaknya memberitahu ada beberapa motosikal terbakar.
“Ketika itu, saya baru bangun bagi menyediakan juadah bersahur. Saya kemudian hubungi bomba sebelum memberitahu jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 4.15 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak ke tempat kejadian dan sebaik tiba, kami mendapati penduduk berjaya mengawal api dan kami mengambil masa selama 10 minit memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, daripada tiga kereta yang terbakar, hanya satu yang musnah manakala 13 daripada 14 motosikal berkenaan hangus sama sekali.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, kes berkenaan dipercayai perbuatan khianat dengan api dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK).

Abby takut nangis




     “Saya masih tidak tahu sama ada saya perlu datang atau tidak ke majlis perkahwinan Norman dan Memey. Saya masih berbelah bagi untuk hadir kerana saya takut saya akan menangis dan merosakkan majlis mereka,” kata pelakon, Abby Abadi, 33, yang juga bekas isteri kepada pelakon, Norman Hakim, 35, (gambar).

Abby berkata, sehingga kini dia masih belum mahu memberikan sebarang kata putus sama ada mahu menghadiri majlis yang digelar ‘wedding of the year’ itu selepas memberitahu emosinya akan terganggu dan pasti menitiskan air mata sekiranya melihat persandingan bekas suaminya bersama Memey Suhaiza, 23.

“Saya sudah maafkan mereka, saya tidak mendendami mereka lagi dan tidak cemburu melihat kebahagiaan mereka. Tetapi sekiranya saya hadir ke majlis itu nanti, saya yakin saya akan titiskan air mata seterusnya merosakkan detik bahagia mereka,” katanya.
Norman dan Memey dijadualkan bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor iaitu rumah pengantin perempuan manakala majlis persandingan pada 28 September di sebuah hotel dengan tajaan sebanyak RM12 juta.

Menurut Abby, dia turut menyangkal satu laporan media kononnya dia menerima kad undangan daripada Norman dan Memey untuk hadir ke majlis resepsi pasangan itu.

“Saya tidak tahu menahu mengenai jemputan itu dan tidak menerima sebarang kad jemputan untuk hadir ke majlis perkahwinan terbabit,” katanya.