Rabu, 3 Ogos 2011

14 motor 3 kereta dibakar kerana khianat


    Tiga kereta dan 14 motosikal terbakar dipercayai perbuatan khianat dalam kejadian di Pangsapuri Sri Kota, Bandar Tun Razak, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, penduduk berusaha memadamkan kebakaran hampir 10 minit sementara menunggu pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Halijah, 57, berkata, dia dengar jeritan daripada anaknya memberitahu ada beberapa motosikal terbakar.
“Ketika itu, saya baru bangun bagi menyediakan juadah bersahur. Saya kemudian hubungi bomba sebelum memberitahu jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 4.15 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak ke tempat kejadian dan sebaik tiba, kami mendapati penduduk berjaya mengawal api dan kami mengambil masa selama 10 minit memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, daripada tiga kereta yang terbakar, hanya satu yang musnah manakala 13 daripada 14 motosikal berkenaan hangus sama sekali.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, kes berkenaan dipercayai perbuatan khianat dengan api dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???