Ahad, 24 Julai 2011

Undang-undang syariah tidak benar lelaki tukar status jantina






       Tiada peruntukan dalam undang-undang syariah yang membenarkan lelaki menukar status kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya.
Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Zain berkata, ini kerana undang-undang syariah yang ada adalah kepada berdasarkan hukum syarak iaitu ketetapan dalam Islam yang bukan ditentukan manusia, sebaliknya oleh Allah menerusi al-Quran serta hadis Nabi.

“Disebabkan itu, dalam mana-mana negara Islam sekalipun, undang-undangnya tidak ada pengiktirafan bagi golongan pondan.


“Pengiktirafan dalam Islam hanya sebagaimana termaktub bahawa Allah SWT hanya mencipta dua golongan manusia iaitu lelaki dan perempuan dan tidak wujud istilah pondan,” katanya.

Menyentuh mengenai isu lelaki yang ingin menukar status kepada perempuan atau dipanggil pondan, ia tidak dibolehkan serta tidak diluluskan syariah kerana hukum berkenaan sudah jelas, dan tiada istilah bahawa ada kelompongan atau kekurangan undang-undang.


“Undang-undang syarak adalah lengkap, jadi mana-mana manusia memang tidak boleh mengubah undang-undang Allah ini.



“Jika melanggarnya, bermakna kita cuba mengubah sesuatu yang sempurna dan sudah ditetapkan atau lebih tepat, mengubah hukum Allah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, penukaran status jantina itu hanya dibolehkan kepada golongan ‘khunsa’ iaitu individu yang dilahirkan dengan dua alat kelamin lelaki dan wanita.



Namun, ia masih perlu disahkan oleh pakar perubatan menerusi pemeriksaan secara lanjut mengenai hormon dalam diri individu terbabit bagi mengenal pasti ia lebih kepada lelaki mahupun perempuan.

“Jika pemeriksaan perubatan membuktikan diri seseorang itu sebenarnya lebih cenderung kepada hormon wanita serta dengan fungsi anggota dalam badannya lebih kepada anggota dalaman wanita, tidak ada sebab pula penukaran status itu tidak diluluskan.


“Yang utama adalah, bukti itu bukan berdasarkan kenyataan lisan, sebaliknya dengan bukti bertulis hasil pemeriksaan lanjut pakar perubatan dan hanya dengan itu satu keputusan lain boleh dicapai,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???