Sabtu, 19 Mei 2012

SPIDERMAN Gian panjat pencakar langit






"IA satu perasaan yang hebat apabila mengetahui terdapat 100 pegawai polis cuba menghentikan anda daripada melakukan sesuatu, tetapi mereka tidak mampu."
Kenyataan itu mungkin berbaur angkuh, namun keterujaan itu hanya mampu diluahkan seorang manusia pelik tetapi unik iaitu pemanjat bangunan atau pendaki solo dari Perancis, Alain Robert, 49. Mei lalu, dia sekali lagi membuat kerja gila dengan memanjat bangunan tertinggi di Perancis iaitu First Tower setinggi 231 meter.
Setiap pengawal keselamatan bangunan tertinggi dunia barangkali sudah disuruh bersedia dengan kehadiran lelaki itu yang sering menceroboh bangunan sasarannya pada waktu subuh supaya dia mudah meloloskan diri.
Robert sudah memanjat lebih 100 buah struktur gergasi yang kebanyakannya bangunan tertinggi dunia. Lebih mengejutkan, dia langsung tidak menggunakan sebarang kelengkapan memanjat atau pendakian kecuali sepasang kasut mendaki.
Antara bangunan pencakar langit utama dunia yang berjaya dipanjatnya termasuklah Burj Khalifa di Dubai yang mempunyai ketinggian 828 meter pada tahun lalu dan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur yang berketinggian 452 meter pada Julai 2009.
Robert juga telah berjaya mencapai puncak menara Jin Mao di Shanghai berketinggian 420 meter pada tahun 2007, Taipei 101 di Taipei (508 meter) pada tahun 2004 dan Sears Tower di Chicago (443 meter) pada tahun 1999.
Justeru, rekod pada bulan lalu itu bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. Para peminat yang mengikuti perkembangannya juga pasti tertunggu-tunggu struktur bangunan seterusnya yang bakal dijadikan sasaran jejaka itu.
Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa Robert dilahirkan sebagai manusia yang takut pada ketinggian. Dia seorang yang mudah gayat.
Begitupun, dalam satu kejadian dia tertinggal kunci rumah, telah menyebabkan dia mengatasi fobianya itu dengan memanjat apartmen ibu bapanya hingga ke tingkat lapan.
"Semasa berumur 12 tahun, saya lupa membawa kunci apartmen ibu bapa saya. Jadi saya memanjat bangunan buat kali pertama untuk masuk ke dalam rumah.

FAKTOR cuaca, suhu dan kelembapan menjadi cabaran ketika Robert memanjat bangunan tinggi.



"Percayakah anda saya takut dengan ketinggian? Saya selalu ingin memanjat cenuram berbatu tetapi tidak berani. Akhirnya, saya ada sebab untuk memanjat. Peristiwa itu telah membantu mengatasi ketakutan saya," katanya melalui satu temu bual dengan Men's Health tahun lalu.
Bercerita lanjut, Robert memberitahu, sejak itu dia memanjat bangunan-bangunan rendah di sekeliling rumahnya tanpa kelengkapan keselamatan dan minat itu berkekalan sehingga kini.
"Saya memanjat secara solo tanpa kelengkapan keselamatan sehingga ke paras 8b (gred mendaki ekstrem) di atas cenuram sebenar dan menjadi pendaki solo bebas pertama di dunia.
"Namun, saya hanya memperoleh pendapatan yang sedikit. Justeru, saya bekerja di kedai barangan sukan selama 15 jam seminggu untuk membayar sewa tetapi kehidupan menjadi bertambah sukar," katanya.
Disebabkan pengalaman pahit itulah, Robert mula memanjat bangunan-bangunan tinggi dengan cara menceroboh, tidak meminta kebenaran dan seperti biasa tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan kecuali memakai sepasang kasut mendaki.
"Saya mula memanjat bangunan kerana mahu timbulkan satu perkara menarik untuk dibincangkan.
"Kini, saya menggunakan populariti saya untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemanasan global, kebajikan dan memberikan ceramah motivasi.
"Saya meraih pendapatan yang tinggi. Sekali ceramah sahaja saya dibayar lebih daripada jumlah pendapatan kebanyakan orang selama enam bulan," ujarnya.
Latihan dan kecederaan
Tidak seperti kebanyakan atlet mendaki lain, Robert lebih selesa menjadikan kediamannya di Paris sebagai lokasi latihan mendaki, malah biliknya diubah suai sebagai gim persendirian.
"Saya mengubah suai siling bilik tidur menjadi dinding tembok. Saya sudah berumur 48 tahun, tetapi dapat bertahan pada dinding berkenaan selama 20 minit dan memanjat secara terbalik sejauh kira-kira 80 ke 90 meter.
"Saya bina semua itu di dalam bilik tidur kerana ia mempunyai siling yang tinggi - cukup tinggi dan membahayakan," katanya dalam satu temu bual tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, biarpun berlatih di rumah sendiri, dia pernah terjatuh sehingga menyebabkan tengkoraknya retak dan koma.
"Namun saya sentiasa mencari jalan untuk mendaki semula," katanya yang ternyata tidak pernah serik.
Pada satu temu bual pada tahun 2005, Robert memberitahu, dia terjatuh sebanyak tujuh kali sepanjang hidupnya.
Semasa berumur 19 tahun dan 20 tahun, dia pernah terjatuh setinggi 15 meter menyebabkan keretakan tulang.
Para doktor mengatakan bahawa Robert sudah 60 peratus cacat dan memberitahu, dia tidak lagi mampu untuk mendaki.


Robert turut dipelawa menyampaikan ceramah awam tentang pelbagai topik.




Dalam masa enam bulan, dia kembali mendaki dan cuba memanjat lebih banyak struktur mencabar untuk meningkatkan kemahirannya.
Robert memberitahu, dia menikmati setiap pendakian dan menganggap bahawa mendaki ibarat makan atau minumnya.
"Manusia perlu belajar untuk hidup dengan mengambil risiko. Hidup ini berbahaya. Kini, tidak lagi, lebih-lebih lagi di Singapura apabila semua perkara yang dilakukan perlu diiringi peraturan dan aspek keselamatan," jelasnya.
Memiliki hobi pelik yang menyebabkannya tercedera dan ditahan berulangkali oleh pihak berkuasa ternyata hanya menyebabkan Robert lebih teruja memanjat bangunan dengan cara menceroboh, ibarat satu permainan yang menyeronokkan.
Dia pernah ditahan semasa memanjat Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. Pada tahun 2007, dia dibebaskan tanpa denda selepas dua kali gagal percubaan menuju ke puncak menara.
Namun, pada tahun 2009, selepas berjaya memanjat menara 88 tingkat itu dalam masa kurang dua jam, dia direman sehari sebelum didakwa di mahkamah. Dia didapati bersalah kerana menceroboh dan didenda AS$567 (RM1,761).
Ditahan pihak berkuasa
"Pihak berkuasa telah menahan saya, membebaskan saya dan kemudian menjemput saya untuk menghoskan acara awam. Bagi saya, ia pengalaman yang sangat menarik.
"Saya bertindak bijak semasa memanjat Menara Berkembar Petronas pada tahun 2009 walaupun pernah gagal dua kali sebelum itu. Saya mengibarkan bendera Malaysia ketika sampai di puncak," ceritanya.
Isteri Robert, Nicole Robert juga tidak dapat menahan obsesi suaminya.
"Saya sudah terbiasa dengannya (obsesi Robert) kerana saya terpaksa. Ia bukanlah pekerjaannya, tetapi obsesi," luahnya.
Robert sendiri menegaskan dia tidak akan berhenti walaupun diminta isteri dan anak-anaknya.
"Saya mempunyai tiga orang anak lelaki. Saya yakin bahawa saya tidak akan berhenti mendaki secara solo walaupun disuruh anak-anak.
"Saya bukanlah bapa yang jahat. Saya biarkan mereka tahu batas-batas mereka tetapi membenarkan mereka membuat keputusan sendiri. Ia mengenai had, mengambil risiko tertentu dan menikmati kehidupan," katanya.
Bangunan atau gunung?


TANPA sebarang kelengkapan dan peralatan memanjat, Robert sebaliknya hanya memakai kasut mendaki yang sesuai.




Ketika kebanyakan pendaki lebih gemar memilih gunung sebagai lokasi pendakian, Robert lebih selesa memanjat bangunan walaupun sedar mengenai risiko terutama apabila cuaca berubah buruk dan angin kencang.
Ternyata debaran memanjat bangunan tinggi tetap dirasai Robert, terutamanya semasa memanjat Sears Tower pada tahun 1999. Paras kelembapan tinggi menyebabkan tingkap kaca bangunan itu licin.
"Saya fikir saya akan jatuh, tetapi anda tahulah, bila anda berhadapan masalah yang meletakkan nyawa anda dalam bahaya, hanya ada satu pilihan," katanya dalam temu bual dengan Buildering.net pada Jun 2006.
Setiap kali memanjat bangunan katanya, dia akan merancang untuk memulakan dan melaksanakannya. Tidak terkecuali, dia juga memikirkan tentang cara untuk mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa.
Tidak sekadar menarik perhatian orang awam dengan aksi memanjatnya yang dianggap mustahil bagi kebanyakan orang, Robert turut mencuit hati seluruh dunia yang mengikuti perkembangannya dengan memakai pelbagai kostum terutamanya kostum adiwira.
"Inilah rupa saya. Kadangkala saya memakai baju seperti koboi. Saya tidak pernah berhenti memainkan watak koboi, Red-Indian, polis dan perompak," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???