Jumaat, 5 Ogos 2011
Tragedi kejut dan terkejut
Seorang ibu yang mahu mengejutkan anaknya untuk bersahur tergamam sejurus mendapati seorang lelaki tidur nyenyak bersama anak gadisnya dalam kejadian di Batu 18, Hulu Langat, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika ibu mangsa masuk ke dalam bilik tidur anaknya yang berusia 14 tahun untuk mengejutkannya.
“Sebaik masuk, ibu mangsa terkejut apabila mendapati mangsa tidur bersama seorang lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun yang dipercayai teman lelakinya.
“Lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran ibu mangsa bingkas bangun lalu memohon maaf selain mengaku hanya tidur dan tidak melakukan apa-apa bersama mangsa,” katanya.
Katanya, ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan pengakuan lelaki itu mendesaknya untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Atas desakan berterusan ibu mangsa, lelaki itu mengaku sudah melakukan hubungan seks dengan mangsa ketika ahli keluarga lain sedang tidur. “Lelaki itu juga mahu bertanggungjawab atas perbuatannya.
“Ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang melarikan diri membuat laporan di Balai Polis Batu 18, Hulu Langat,” katanya.
Anggota badan dikerat 15
Misteri penemuan anggota badan yang dikerat lebih 15 bahagian di beberapa tempat dan dalam tiga bungkusan plastik di sebuah pangsapuri terbiar di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, terjawab apabila ia disahkan milik seorang wanita dan seorang kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata anggota badan yang dikerat itu milik wanita dipercayai berusia 20-an dan kanak-kanak lelaki berusia lima hingga enam tahun.
“Hasil bedah siasat mendapati anggota badan yang dimasukkan dalam bungkusan plastik itu milik kanak-kanak manakala anggota badan yang ditemui dibuang di beberapa tempat termasuk tandas milik seorang wanita.
“Bagaimanapun, identiti kedua-dua mangsa itu belum dapat dikenal pasti. Cap jari mayat wanita sudah diambil untuk semakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, polis masih menyiasat kes terbabit bagi menyemak laporan kehilangan individu selain beberapa perkara lain yang boleh membantu siasatan.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan dua mayat terbabit mempunyai kaitan talian darah, namun identiti mangsa dan punca kematian masih dalam siasatan.
Harian Metro semalam melaporkan bau busuk di sebuah pangsapuri sejak Sabtu lalu terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini.
Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan.
Dipercayai mangsa dibunuh tidak lebih dari seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat melebihi 15 bahagian.
Baby Kepala putus ketika lahir
Panik apabila bayi luar nikah yang dilahirkannya berada dalam kedudukan songsang, seorang wanita nekad menarik kaki bayi itu sehingga menyebabkan bahagian kepalanya terputus.
Kejadian itu menyebabkan wanita terbabit yang berusia 24 tahun bertambah panik lalu membuang mayat bayi baru dilahirkannya ke dalam tong sampah di tingkat bawah rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Sri Lanang, dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 6 petang Selasa lalu ketika wanita terbabit yang hamil enam bulan melahirkan bayinya bersendirian.
Menurutnya, selepas mengalami pendarahan akibat melahirkan bayi perempuan tidak cukup bulan seorang diri, wanita terbabit kemudian menghubungi ibunya.
“Ibunya kemudian membawa wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka jam 9 malam hari sama. Ketika menerima rawatan, doktor mendapati dia baru bersalin dan mengesyaki ada yang tidak kena lalu terus membuat laporan polis,” katanya.
" JANGAN SENTUH SAYA "
“Kita akan begini selamanya...tidur berasingan dan saya tak benarkan awak sentuh saya sampai bila-bila!” Demikian tegas seorang isteri yang membuat ‘kejutan malam pertama’ kepada pengantin baru, Mazlan Mustaffa sejurus melangsungkan pernikahan, awal Jun lalu.
Berikutan itu, Mazlan, 26, berkata perkahwinannya hanya bertahan dua minggu apabila isteri pulang ke rumah mentuanya dan tidak pulang ke pangkuannya sehingga hari ini.
“Saya anggap ia dugaan Tuhan di bulan Ramadan dan akan menempuhinya dengan sabar. Bagaimanapun, saya akan failkan tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap isteri sebanyak RM30,000 kerana berasa dianiayai,” katanya.
Mengimbas kisah perkahwinannya, Mazlan yang berniaga pasar awam Padang Matsirat, Pulau Langkawi, Kedah, berkata perkenalan dengan isterinya diatur seorang kenalan ibunya Disember tahun lalu dan ia berterusan ke jenjang pelamin selepas direstui keluarga kedua-dua pihak.
Gembira untuk menamatkan zaman bujangnya, Mazlan membelanjakan lebih RM12,000 wang simpanannya untuk menjayakan dan menanggung sepenuhnya majlis kenduri sebelah pengantin perempuan, selain belanja kenduri di sebelah pihaknya.
Rabu, 3 Ogos 2011
Khairul Fahmi Che Mat Pulang cincin
Kontroversi putus tunang penjaga gol skuad bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 22, dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi, 22, hampir menemui noktah apabila hero Harimau Malaya itu mengesahkan akan memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga bekas tunangnya dalam masa terdekat.
Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan segala urusan dilakukan mengikut adat Melayu termasuk menyerahkan semula cincin pertunangan yang bakal disempurnakan keluarga angkatnya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kata Khairul Fahmi, dia tidak turut serta ketika urusan penyerahan cincin itu kerana terpaksa ke Slovakia beberapa minggu bagi menjalani latihan intensif bersama skuad Olimpik.
“Saya sudah meminta keluarga angkat di Kuala Lumpur menyerahkan cincin pertunangan yang saya terima mengikut adat Melayu sebagai tanda tiada lagi ikatan pertunangan. Selepas ini saya harap tidak timbul lagi masalah lain kerana saya mahu ia diselesaikan secara baik.
“Penyerahan cincin akan dilakukan dalam masa terdekat namun malangnya saya tidak berada di sini kerana terpaksa menjalani latihan intensif bersama skuad Olimpik di Slovakia,” katanya ketika di temui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, malam kelmarin.
14 motor 3 kereta dibakar kerana khianat
Tiga kereta dan 14 motosikal terbakar dipercayai perbuatan khianat dalam kejadian di Pangsapuri Sri Kota, Bandar Tun Razak, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, penduduk berusaha memadamkan kebakaran hampir 10 minit sementara menunggu pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.
Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Halijah, 57, berkata, dia dengar jeritan daripada anaknya memberitahu ada beberapa motosikal terbakar.
“Ketika itu, saya baru bangun bagi menyediakan juadah bersahur. Saya kemudian hubungi bomba sebelum memberitahu jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 4.15 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak ke tempat kejadian dan sebaik tiba, kami mendapati penduduk berjaya mengawal api dan kami mengambil masa selama 10 minit memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, daripada tiga kereta yang terbakar, hanya satu yang musnah manakala 13 daripada 14 motosikal berkenaan hangus sama sekali.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, kes berkenaan dipercayai perbuatan khianat dengan api dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK).
Abby takut nangis
“Saya masih tidak tahu sama ada saya perlu datang atau tidak ke majlis perkahwinan Norman dan Memey. Saya masih berbelah bagi untuk hadir kerana saya takut saya akan menangis dan merosakkan majlis mereka,” kata pelakon, Abby Abadi, 33, yang juga bekas isteri kepada pelakon, Norman Hakim, 35, (gambar).
Abby berkata, sehingga kini dia masih belum mahu memberikan sebarang kata putus sama ada mahu menghadiri majlis yang digelar ‘wedding of the year’ itu selepas memberitahu emosinya akan terganggu dan pasti menitiskan air mata sekiranya melihat persandingan bekas suaminya bersama Memey Suhaiza, 23.
“Saya sudah maafkan mereka, saya tidak mendendami mereka lagi dan tidak cemburu melihat kebahagiaan mereka. Tetapi sekiranya saya hadir ke majlis itu nanti, saya yakin saya akan titiskan air mata seterusnya merosakkan detik bahagia mereka,” katanya.
Norman dan Memey dijadualkan bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor iaitu rumah pengantin perempuan manakala majlis persandingan pada 28 September di sebuah hotel dengan tajaan sebanyak RM12 juta.
Menurut Abby, dia turut menyangkal satu laporan media kononnya dia menerima kad undangan daripada Norman dan Memey untuk hadir ke majlis resepsi pasangan itu.
“Saya tidak tahu menahu mengenai jemputan itu dan tidak menerima sebarang kad jemputan untuk hadir ke majlis perkahwinan terbabit,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)





