Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan seorang penulis blog, Amizudin Ahmad membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana memfitnahnya menerusi artikel dipaparkan dalam satu laman blog.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof juga memerintahkan Amizudin, 42, selaku defendan yang juga seorang ahli jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) membayar RM100,000 kepada Dr Rais yang bertindak selaku plaintif.
Zabariah dalam keputusannya berkata, ia adalah dakwaan paling teruk seseorang boleh lakukan terhadap mana-mana individu lebih-lebih lagi ke atas seorang menteri Kabinet.
Menurutnya, dakwaan yang dibuat itu serius dan jika dipercayai orang ramai sebagai benar, ia boleh merosakkan reputasi Dr Rais.
“Defendan bukan saja tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataan, malah masih menerbitkan artikel itu walaupun mahkamah mengeluarkan perintah injuksi terhadapnya. Bukti menunjukkan defendan menerbitkan artikel terlebih dulu dan kemudian memutuskan untuk menyiasat. “Ia jelas apabila defendan ke Jakarta selama tiga hari untuk ‘menyiasat’ tetapi gagal menemui mangsa untuk mengesahkan cerita itu. Selepas itu, defendan tidak mengambil sebarang tindakan lanjut, ini menunjukkan dia tidak peduli sama ada artikel yang diterbitkan itu benar atau sebaliknya,” katanya.
Pada 31 Januari lalu, Dr Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin, sharpshooterblogger.blogspot.com berserta gambar Dr Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lalu. Dr Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata, seluruh artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat memfitnahnya dan perkataan dalam artikel bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia. Sementara itu, Dr Rais yang ditemani isterinya, Datin Seri Masnah Rais, ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, keputusan itu boleh dijadikan peringatan kepada individu yang menulis berkaitan pihak lain dalam laman blog lebih berhati-hati.
Dr Rais diwakili peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir manakala Amizudin diwakili peguam William Leong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan pesanan anda ???