Selasa, 6 September 2011

Dapur nenek runtuh di rempuh cucu





      Tindakan remaja lelaki berusia 15 tahun cuba mengalihkan kereta milik bapa saudaranya mengundang padah apabila kenderaan itu merempuh dapur rumahnya, kelmarin.



Dalam kejadian jam 6 petang di Kampung Tasek Bakong, di sini, remaja itu, Mohd Azuan Yahaya turut membawa bersama sepupu perempuan berusia 11 tahun ketika cuba mengalihkan kereta Proton Wira bapa saudaranya, Arif Ariffin, 33, dari halaman rumah ke garaj kereta dengan alasan hujan.

Bagaimanapun, kereta dipandu secara mengundur itu merempuh dapur rumahnya.


Nenek Mohd Azuan, Mek Esah Abdullah, 55, berkata, dia sudah melarang cucunya itu mengalihkan kereta berkenaan tetapi tidak diendahkan.

Ibu Mohd Azuan, Roslinani Fauzi, 33, berkata, ketika kejadian dia bersama anak sulungnya makan di dapur sebelum mendengar dentuman kuat dan dinding dapur rumahnya runtuh.


“Mujur, kereta itu tersekat pada dinding batu yang runtuh, jika tidak mungkin akan berlaku perkara lebih buruk,” katanya. Menurut Roslinani, ketika kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres tiada di rumah kerana keluar bekerja.





Katanya, akibat kejadian itu dia menanggung kerugian RM5,000 kerana perlu membaik pulih semula bahagian dapur yang rosak selain menanggung kos membaiki kereta adik iparnya.

“Selain dapur rosak teruk, lebih 100 koleksi pinggan mangkuk dan cawan yang digunakan ketika berniaga dulu pecah, manakala almari dan dua mesin basuh turut rosak,” 



Bagi Arif, kemalangan itu benar-benar dugaan buat dirinya, kerana seminggu sebelum Aidilfitri dia terbabit kemalangan di Bachok ketika menunggang motosikal dan kelmarin pula, keretanya rosak teruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???