Khamis, 23 Jun 2011

** Ibu rela dinoda demi menjaga kesucian anak **

   





     Pilihan setan. Itu situasi getir terpaksa dipilih seorang wanita berusia 40 tahun sama ada mahu dirinya atau anak perempuannya berusia lapan tahun dirogol dalam kejadian pecah rumah di Kampung Subang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dan anaknya tidur dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki berusia 30-an yang pada mulanya mahu merompak.

Demi menjaga kesucian anaknya, si ibu dirogol suspek sambil detik hitam terbabit disaksikan kanak-kanak itu. Difahamkan, ketika kejadian suami mangsa keluar bekerja.

Sumber polis berkata, mangsa dan anaknya yang tidur nyenyak di rumah berkenaan dikejutkan seorang lelaki tidak dikenali.

“Tersentak dengan itu, mangsa merayu dikasihani selain memberitahu akan menyerahkan semua barangan berharga miliknya kepada suspek asalkan dia dan anaknya tidak disentuh,” katanya.

Bagaimanapun, suspek mengajak mangsa melakukan hubungan seks.


“Terkejut dengan itu, mangsa merayu dan berusaha mempertahankan dirinya. Namun, wanita itu mengalah apabila suspek mengugut untuk menodai anak perempuannya jika melawan.

“Selepas dirogol, suspek mengambil beberapa barangan berharga seperti telefon bimbit dan wang tunai dianggarkan bernilai RM500 sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa menghubungi polis sebelum sepasukan anggota polis dihantar ke tempat kejadian.

Katanya, selepas mangsa memberi keterangan, dia dan anaknya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, untuk pemeriksaan dan rawatan.

Difahamkan, sehingga kini suspek belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan insiden itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 376 Kanun Keseksaan (KK).