Jumaat, 22 Julai 2011

** Surat dari anak buat ayah yang seorang pencuri **




 “Kami bukan mahukan wang ringgit dan kekayaan. Kami sanggup berlapar asalkan abah jadi orang baik,” demikian kandungan surat yang ditulis seorang anak kepada bapanya yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri.
Surat yang dibacakan peguam Wan A Fadzil Wan Omar ketika mengemukakan rayuan terhadap anak guamnya Nik Iza Afni Hussin, 38, mengundang rasa hiba bapa empat anak itu sehingga dia menangis.

Difahamkan surat yang diserahkan isteri tertuduh itu ditulis anak sulungnya yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.


Terdahulu, pekerja kedai akuarium itu mengaku bersalah terhadap tuduhan mencuri barang peralatan diri dan makanan ringan yang bernilai lebih RM400 di dua pasar raya bulan lalu.

Majistret Hafizza Sauni menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM4,000 atau dia berdepan tambahan lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Mengikut pertuduhan, Nik Iza didakwa mencuri di dalam bangunan termasuk 16 kotak gula-gula jenis Strepsils, empat botol deadoran, dua botol minyak wangi yang keseluruhan bernilai RM260.99 di pasaraya Tesco Scott Garden, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields pada jam 9 malam, 6 Jun 2011.

**Gila si gila !! **




       “Saya lihat dua beradik itu menggelupur kesakitan akibat disimbah cuka getah. Hati saya sedih melihat mereka meraung kesakitan,” kata Siti Aishah Rohaisha Hanafi, 28, saksi kejadian dua beradik disimbah cuka getah oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di Felda Jengka 9, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan adiknya, Shafiq Aiman, sembilan tahun, parah di muka dan beberapa bahagian tubuh akibat terkena cuka getah.


Difahamkan, Shafiq Haikal yang baru selesai mengaji, mengajak adiknya ke rumah rakan sekolahnya untuk mengulang kaji pelajaran.
Sebaik tiba di depan rumah rakannya, suspek dikatakan berlari ke arah mereka sebelum menyimbah cecair dipercayai cuka getah dan terkena muka serta tubuh mangsa.


Akibat simbahan itu, dua beradik terbabit meraung serta menggelupur menahan kesakitan sebelum jeritan mereka didengar penduduk berhampiran yang pantas memberi bantuan.


Ibu saudara mangsa, Zafrida Che Sham, 41, berkata dia terkejut dimaklumkan kejadian menimpa anak saudaranya itu.
“Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hampir membunuh dua anak saudara saya. Apa salah dua beradik itu sehingga mereka diperlakukan begitu rupa,” katanya, semalam.


Zafrida berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada polis untuk melakukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap suspek.

Dia mendakwa suspek jarang bergaul dengan penduduk kampung dan dia lebih banyak bersendirian di dalam rumah selain tidak mengetahui apa penyakit sebenar dihidapi lelaki itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


Menurutnya, dua beradik itu cedera parah di muka dan tubuh serta dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Katanya, susulan kejadian itu, polis menahan reman suspek yang berusia 31 tahun selama enam hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Maran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad pula berkata, beliau akan menghantar pegawainya hari ini untuk melihat keadaan dua beradik berkenaan.


“Saya tidak mahu membuat ulasan kerana kes terbabit masih dalam siasatan polis.


“Saya cuma dapat mengesahkan dua beradik terbabit diserang suspek, namun punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan,” katanya, semalam.


Katanya, beliau akan memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga dua beradik terbabit memandangkan kes itu serius.

** Gadis OKU buang bayi **




         Selepas menyusukan dan meletakkan bayi baru dilahirkannya di belakang rumah didiami bersama keluarga di Teluk Sengat di sini, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 23 tahun dikatakan sanggup membuat helah mengejutkan ibunya dengan memberitahu terdengar tangisan bayi, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, ibu wanita berkenaan panik terus mengejutkan suaminya sebelum mereka menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam keadaan bogel di tepi longkang rumah mereka. Bagaimanapun, helah wanita OKU berkenaan yang mengalami kecacatan di kaki dan mata akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis, kira-kira jam 8 malam di rumah keluarganya selepas dipercayai terbabit melakukan perbuatan itu. Difahamkan, kejadian itu kali kedua wanita berkenaan melahirkan bayi luar nikah hasil hubungan haramnya dengan teman lelakinya warga Nepal selepas dua tahun lalu turut melahirkan bayi luar nikah hasil hubungannya dengan seorang lelaki warga Indonesia.


Menurut wanita itu, dia melahirkan bayi berkenaan seorang diri kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam bilik tidur di rumah keluarganya.
“Ibu bapa saya tidur di bilik sebelah manakala adik bongsu pula di ruang tamu tidak menyedari kelahiran berkenaan.


“Sejurus selepas bersalin, saya sempat menyusu dan mendakap bayi saya sebelum senyap-senyap keluar ke belakang rumah lalu meletakkan bayi itu di tepi longkang rumah,” katanya, semalam.


Difahamkan, ketika ditemui, bayi berkenaan masih bertali pusat selain dipenuhi kesan darah sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.
Menurut wanita itu, ketika polis dan kakitangan perubatan tiba di lokasi kejadian, dia yang memakai jean turut membantu membersihkan semut pada muka bayinya itu.


“Keluarga tidak mengetahui saya hamil kerana biasanya keluar rumah seawal jam 5 pagi untuk bekerja di sebuah kilang di Ulu Tiram sebelum pulang pada lewat malam.

“Pada masa sama, saya turut memakai pakaian bersaiz besar bagi mengelak tembelang hamil anak luar nikah diketahui keluarga,” katanya.


Katanya, ini kali kedua dia melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelakinya warga Nepal manakala anak luar nikah pertamanya lahir hasil hubungan dengan seorang lelaki warga Indonesia diserahkan kepada satu keluarga untuk dipelihara.


Pengarah HKT, Dr Maslina Yusof ketika ditemui mengesahkan bayi itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan diberi rawatan antibiotik bagi mengelak sebarang jangkitan.


“Bayi lelaki berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas rawatan selesai,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan.


“Wanita terbabit direman empat hari hingga Ahad ini dan sudah dihantar ke HKT untuk rawatan perubatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.