Isnin, 13 Ogos 2012

Jenazah bapa tak dituntut ,harta boleh pulak dituntut

Gambar Hiasan


Dua anak bukan saja tidak mengendahkan kematian bapa berusia 80 tahun di Pusat Warga Emas Nur Ehsan Kempas di sini, dengan alasan sibuk berpuasa malah hanya datang dua hari kemudian bagi menuntut kad pengenalan arwah kerana warga emas itu dikatakan memiliki 10 unit rumah sewa sekitar bandar raya ini.
Kejadian yang berlaku pada 27Julai lalu didedahkan Pengurus Pusat Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, semalam.

“Dua beradik berusia 40-an dan 50-an terbabit tidak menghiraukan jenazah bapa mereka sebaliknya hanya berminat menuntut dokumen pengenalan diri arwah yang hanya dikenali sebagai Pak Salleh itu.


“Dua beradik terbabit, seorang lelaki serta seorang perempuan dari Kampung Melayu juga Tampoi,” katanya, semalam.

Menurut Norijah, sebelum ini, kedua-dua anak Pak Salleh yang bekerja di syarikat swasta di sekitar bandar raya ini kerap memberi alasan sibuk bekerja hingga tidak dapat mengunjungi warga emas itu atau membawanya pulang setiap Aidilfitri sejak lima tahun lalu. Katanya, dua beradik itu tetap memberi alasan sama ketika pihaknya memaklumkan berkaitan keadaan kesihatan Pak Salleh yang semakin terjejas akibat sakit tua.


“Sebelum ini kami sangka mereka memang sibuk bekerja hingga gagal menjenguk Pak Salleh namun tidak menduga mereka sanggup lepas tangan berkaitan pengurusan pengebumian arwah bapa kandung,” katanya.



Menurut Norijah, Pak Salleh meninggal dunia pada jam 7 petang, 27 Julai lalu sebelum pihaknya menghubungi dua beradik terbabit untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Mereka langsung tidak sayu dengan berita menyedihkan itu sebaliknya menyatakan sedang sibuk berbuka puasa bersama keluarga,” katanya.


Menurut Norijah, dia yang kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab dua beradik itu melaporkan kejadian di Balai Polis Bukit Kempas, namun kedua-dua anaknya masih gagal menguruskan pengebumian Pak Salleh.

“Malah mereka sanggup membayar sejumlah wang kepada kami untuk mengebumikan Pak Salleh,” katanya.


Menurut Norijah, dua hari selepas kematian bapa, anak perempuan arwah mengunjungi pusat jagaan berkenaan menuntut kad pengenalan arwah bapanya kerana mendakwa Pak Salleh memiliki 10 unit rumah sewa dan dokumen itu diperlukan untuk melakukan urusan pindah milik harta di antaranya serta adik lelakinya.