Jumaat, 6 Januari 2012

Salah tafsiran hal mengumpat





SERINGKALI kita mendengar: “Aku bukan nak mengumpat, tapi ini cerita betul, sumpah aku tak tipu...” Kata-kata seperti ini atau yang seumpamanya dimanfaatkan oleh pengumpat sebagai pembuka bicara. Sedar atau tidak, sebenarnya mereka sudah melakukan dosa besar dan berhadapan dengan ancaman Allah. Hal ini berlaku kerana mereka memberikan tafsiran salah mengenai mengumpat. Bagi mereka, bercakap perkara benar yang dibenci pelakunya pada orang lain bukan dikategorikan sebagai mengumpat.


Apa itu mengumpat? 
Mengumpat dalam bahasa Arab adalah ‘ghibah’. Ia berasal daripada perkataan ‘ghaaba’ iaitu hilang daripada pandangan. Disebut ‘ghibah’ kerana perbuatan mengumpat dilakukan tanpa kehadiran orang yang diumpat. (Lihat: 'Umdat al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari oleh al-'Aini, 8/208).

Al-Imam al-Munawi berkata: “Ghibah (mengumpat) adalah menyatakan keaiban seseorang di belakangnya sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau isyarat.” (Lihat: Faidh al-Qadir Sayarh al-Jami' al-Shaghir oleh Zainuddin al-Munawi, 3/166).


Nabi sallallaahu 'alaihi wa sallam (s.a.w) pernah menjelaskan mengenai erti mengumpat. Sabda Baginda: “Mengumpat adalah menyebut sesuatu perkara yang tidak disukai saudaramu (di belakangnya). Lalu seorang sahabat Baginda bertanya: Apa pandanganmu sekiranya apa yang aku sebutkan benar-benar ada saudaraku? Nabi menjawab: “Jika engkau menyebut sesuatu yang benar-benar ada pada saudaramu (sedang dia tidak menyukainya), maka kamu sudah mengumpatnya. Jika sesuatu yang kamu sebutkan tidak berlaku ke atas saudaramu, maka kamu sudah memfitnahnya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2591)

Saya anggap penjelasan Nabi sangat mudah difahami. Semua perkara dibenci saudara kita untuk didedahkan walaupun ia benar, maka usaha mendedahkannya dikategorikan Nabi sebagai mengumpat.

Ancaman Allah:

Firman Allah, maksudnya: “Dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?
Maka tentulah kamu berasa jijik padanya. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, 49:12)

Firman Allah lagi: Maksudnya: “Kecelakaan bagi pengumpat dan pecela.” (Surah al-Humazah, 104:1)

Sabda Nabi maksudnya: “Sesiapa yang menyelamatkan daging (kehormatan) saudaranya daripada diumpat, nescaya Allah akan membebaskan dia daripada neraka.” (Hadis riwayat Ahmad, no: 27062)

Ini bererti sesiapa yang mengumpat, balasannya neraka Allah, na'uzubillah. Bahkan banyak lagi hadis Nabi yang mencela pengumpat.

Mengumpat yang dibolehkan:

Al-Imam al-Nawawi menyenaraikan enam keadaan yang dibolehkan mengumpat.
(Lihat al-Azkar oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi, hal. 208).

1. Ketika dizalimi. Orang yang dizalimi harus menceritakan mengenai orang yang menzaliminya kepada polis, peguam, hakim atau pihak berkuasa agar tindakan diambil.

2. Ketika memohon bantuan untuk mencegah kemungkaran. Jika kita terlihat maksiat, tetapi tiada upaya untuk mencegahnya. Seperti tiada ilmu untuk menegur maksiat tersebut. Maka, kita boleh memohon pertolongan orang yang berilmu untuk mencegah maksiat tersebut dengan ilmunya.

3. Ketika meminta fatwa. Seperti isu rumah tangga yang perlukan penyelesaian melalui fatwa hakim atau mufti.

4. Ketika mengingatkan seseorang daripada bahaya. Seperti menasihat penuntut ilmu agar tidak mengambil ilmu dari orang yang jahil.

5. Ketika menegur perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan.
Seperti teguran peminum arak, kaki judi dan lain-lain.

6. Ketika menjelaskan tanda pengenalan diri seseorang: Seperti kita ingin mencari seseorang yang kita terlupa namanya, tetapi kita hanya ingat sifatnya yang kurang sempurna. Lalu dinyatakan sifat tersebut agar dapat menemuinya.

 Al-Syeikh Salim Al-Hilali berkata: “Keharusan mengumpat untuk keadaan-keadaan di atas adalah hukum susulan bukan hukum asal. Oleh itu, jika hilang sebab-sebab yang membolehkan mengumpat, maka dikembalikan hukumnya kepada hukum asal iaitu haramnya mengumpat.

Katanya lagi, “Dibolehkan mengumpat kerana darurat. Oleh itu, perbuatan mengumpat itu diukur sesuai dengan keperluannya sahaja. Maka tidak dibolehkan memperluaskan bentuk- bentuk di atas. Bahkan orang yang berada dalam salah satu daripada keadaan darurat di atas (sehingga dia dibolehkan mengumpat) hendaklah bertakwa kepada Allah dan janganlah dia menjadi termasuk di kalangan orang yang melampaui batas.” (Lihat Bahjat al-Naadzirin Syarh Riyadh al-Solihin oleh Salim al-Hilali, 4/35-36).

Isu dan tindakan kita:

Apa yang membimbangkan umpatan pada hari ini berunsur mengapi-apikan antara satu dengan yang lain. Bermula daripada isu politik negara yang membabitkan pemimpin kerajaan dan pembangkang sehingga isu anak melayu yang berkahwin sesama jantina, isu pelajar pintar yang dikatakan berubah sikap, isu gosip di kalangan artis dan lain-lain, kebanyakannya disebarkan dalam bentuk mendukacitakan. Bahkan dilihat seolah-olah melaga-lagakan sesama manusia.

Takuti ancaman Nabi:

Maksudnya: “Tidak akan masuk ke syurga pengadu domba.” (Hadis riwayat Muslim, no: 06).

Kita perlu bertindak lebih matang dan menjaga prinsip sebagai seorang Muslim dalam mengulas apa jua isu agar tidak tergolong di kalangan pengumpat dan pengadu domba, apatah lagi pendusta. Memastikan kebenaran maklumat yang diperoleh, bersangka baik, menasihati secara berhadapan, membetulkan kesalahan secara umum, bersabar dan berdoa adalah jalan keluar terbaik.

Ruangan minda kali ini diakhiri dengan memetik pesanan Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau berdiam diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no: 6018) 





Sumber : SINI

Video Live : Jawapan Lengkap Nur Amalina Che Bakri


Jawapan Lengkap Nur Amalina Che Bakri

Semalam, bermula jam 5.17 petang, sekumpulan wartawan tempatan berada di rumah ibu pelajar cemerlang 17A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005, Nur Amalina Che Bakri bagi mendengar sendiri jawapannya terhadap semua isu yang tersebar di media sosial.
Perbualan melalui sidang video Skype lebih sejam sangat mesra malah penuntut Universiti Edinburgh, United Kingdom itu menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.
Kini berusia 24 tahun, gadis yang lahir pada 7 Disember ini sekali lagi menjadi tajuk utama akhbar tempatan semalam; genap setahun selepas kisahnya dipaparkan mengenai dakwaan dia gagal dalam pengajiannya di luar negara  dan pulang senyap-senyap ke rumah ibunya.
Khabar angin itu bagaimanapun tidak benar. Sekali lagi, minggu ini, kisah gadis pintar ini hangat diperkatakan.
Media sosial sejak beberapa hari lalu hangat memperkatakan tentang isu gambar Nur Amalina mengenakan ‘legging’ yang diambil dari arkib foto akaun Facebook miliknya.
Mungkin ini harga yang perlu dibayar menjadi seorang ikon yang cemerlang dalam pendidikan sehingga menjadi rutin tahunan yang perlu dihadapi keluarganya.
Sebelum mendengar penjelasan Nur Amalina, perkembangan terkini gadis ini harus diberi perhatian kerana kini turut terlibat dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk dimuatkan dalam jurnal perubatan di Eropah.
Apa yang membanggakan, selain pengajian perubatan, Nur Amalina yang memperolehi keputusan cemerlang, turut ditawarkan mengambil ijazah tambahan dalam bidang farmakologi dalam tempoh setahun berbanding empat tahun.
Pastinya bukan mudah untuk bergelut dengan dua ijazah apatah lagi di negara asing. Berikut adalah cerita Nur Amalina:

Sesuai dengan anugerah sebagai pelajar cemerlang, Nur Amalina juga bijak menangani isu yang menyelubunginya dan tak mudah melatah. Langkah pertama dilakukan ialah menghubungi ibunya, Sabariah Hasaan bagi mendapatkan nasihat.
Ini pula penjelasan Nur Amalina terhadap isu foto ‘legging’ dan bersama rakan lelaki yang tersebar luas di internet. Antaranya foto yang tersebar adalah koleksi peribadi dan diambil tanpa kebenarannya dengan niat tidak baik termasuk untuk mengaibkannya:
Menganggap dirinya sebagai seorang yang ekspresif dalam fesyen, ia tidak pula dianggap sebagai lesen untuk dia melampaui batas. Legging itu tampak seperti mendedahkan kulitnya, walhal ia dibeli oleh ibunya.
Nur Amalina turut dikecam kerana didakwa melucutkan tudung sebaik menjejakkan kaki di perantauan. Ramai menganggap Nur Amalina sengaja menanggalkan tudung bagi menyesuaikan diri dengan negara Barat. Seeloknya, kita dengar apa justifikasi Nur Amalina:
Menurut Nur Amalina, dia bersedia untuk menerima teguran yang diberikan untuk dijadikan panduan serta bimbingan hidupnya namun biarlah ia dilakukan secara berhemah. Dia turut memohon agar semua foto milik peribadinya dibuang dari internet kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi mengaibkan apatah lagi jika yang melihatnya tidak menerima gambaran sebenar dan lebih jelas.

Nur Amalina melanjutkan pengajian ke United Kingdom sejak lapan tahun lalu bagi menduduki peperiksaan A Level melalui tajaan Bank Negara Malaysia.
Disebalik khabar angin berniat negatif mendakwa pelajar itu sudah pulang ke Malaysia kerana gagal dalam penganjiannya pada 2009, Nur Amalina terus memperolehi pelbagai kecemerlangan dalam bidang yang dipelajarinya. Antaranya:
June – sekarang:
Medical Research Intern
Edinburgh Breast Unit WGH & Cancer Research UK, Edinburgh
Feb – May 2010
ERASMUS Research Intern
CHDR, The Netherlands
Aug – Sept 2009
District Medical Officer
Meru District Hospital, Tanzania
Bertugas di wad bersalin, pediatrik, HIV dan kecemasan.
Pada ketika kita mencemuh tentang betapa tidak Islamnya Nur Amalina, dia turut melakukan khidmat masyarakat mengajar Bahasa Inggeris bukan di kondominium mahupun banglo berkolam renang, sebaliknya di Orphanage, Tanzania dan Zanzibar, pada 2009.
Dia juga mengajar bahasa yang sama sejak 2008 hingga kini di Bergamo Scuole Elementare, Itali.
Bagi kerja kerja penyelidikan, Nur Amalina kini giat menyiapkan draf bagi bab terakhir kertas “Reproductive: Obstetrics and Gynaecology” in ABC of Medically Unexplained Symptoms 2011/2012
di bawah seliaan Dr Andrew Horne, Consultant Gynaecologist, Royal Infirmary of Edinburgh, University of Edinburgh.
She is writing a book chapter on medically unexplained symptoms in obstetrics and gynaecology, which involved chronic pelvic pain, dyspareunia and vulvodynia.
Sementara kita semua hanya hebat menulis di blog/twitter/facebook seperti aku, Nur Amalina juga dalam proses menyiapkan manuskrip untuk satu terbitan dalam Journal of Clinical Oncology bagi kajiselidik “The resection of lymph nodes and the consequences in survival rate of patients with breast cancer (2011/12)” di bawah pengawasan Prof Mike Dixon, Professor of Surgery and Consultant Surgeon, Edinburgh Breast Unit, Western General Hospital.
Hakikatnya, disebalik sifat rendah diri yang ditonjolkan Nur Amalina sepanjang video chat itu, aku terasa kita seharusnya menyokong dan sentiasa mendoakan kejayaan dia kerana dia adalah harapan untuk generasi akan datang.
Dan pada Nur Amalina, aku sendiri berharap dan berdoa akan terus tintakan dalam hati dan ingatan – ajaran agama serta budaya kita dengan menjadikan kes-kes terdahulu sebagai teladan.
Dan pada yang terus mencemuh gadis ini, adakah anda semua tahu akan pencapaian gadis ini? Makan atau tidak gadis ini di perantauan? Siapa yang menjenguk dirinya bila sakit? Bukankah kita semua belajar itu semua sebagai sebahagian dari adab kita?
Marilah kita memdoakan yang terbaik buat nur amalina dan semoga di kuatkan imannya dengan ajaran allah swt serta menjadi wanita yang solehah.aminn.....