Ahad, 29 Januari 2012

Kisah : Mati Terbakar Kerana Memperikaikan Hukum-hukum Allah





Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat kisah benar berlaku di Iskandariah Mesir, seorang wanita muda menghina hukum Allah SWT bab menutup aurat
dan mencabar kekuasaan Allah SWT akhirnya mati dibakar di dunia ini lagi.

Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah Mesir. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: "Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki.... " nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: "Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. " Jika ISLAM itu BENAR,tempatkan bilikku di Neraka ,Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali,  wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka.

Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah Rasu-lNya SAW. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Sahabat yang dimuliakan,
Bertaubatlah kita kepada Allah SWT kerana kematian akan datang bila-bila masa. Kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang kufur, siapakah orang yang kufur itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul 'alamin. Apabila  enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti seseorang ingin melawan arahan Tuhan. Jangan cuba mencabar Allah SWT dan menghina ajaran Islam pasti balasannya akan di terima di dunia lagi dan di akhirat telah tersedia seksaan api neraka yang amat dahsyat.

Sabtu, 7 Januari 2012

Perkara yang perlu dilakukan jika terlanjur


Gambar Hiasan

Janganlah sama sekali anda berasa sanggup untuk ditempatkan walau sekejap di neraka Allah. Mintalah sesungguh-sungguhnya supaya dijauhkan daripada tempat yang sangat dahsyat ini.

Saya cakap begini kerana ada waktunya yang anda melakukan maksiat secara sedar, sedangkan anda amat mengetahui setiap kemungkaran kepada Allah, balasannya sangatlah berat.

Anda bayangkan, semua unsur yang ada di dalam neraka dicipta daripada api. Bahkan bukan api seperti api yang kita temui di dunia, tetapi api yang dikatakan 70 kali ganda lebih dahsyat.

Pernahkah anda tersentuh besi panas seperti kuali atau periuk nasi yang panas? Atau pernahkah anda melhat bekas plastik atau botol plastik yang dimasukkan kuah atau air yang panas?


Anda akan melihat ketika itu bekas-bekas plastik tadi akan mengecut atau melebur disebabkan kepanasan cecair yang dikenakan kepadanya.

Maka itulah perbandingannya.

Bayangkan jika yang menjadi bekas plastik tadi adalah jasad anda yang segar bugar itu. Bayangkan yang akan dituangkan cecair panas ke atasnya adalah wajah anda yang cantik dan manis itu. Diceritakan, ahli neraka akan dituangkan cecair panas melalui kepalanya yang panasnya bahan tersebut hingga menyebabkan muka mereka melebur, isi perut mereka hancur, dan kulit-kulit tubuh mereka mencair sehngga tersangkut di buku lali dan tumit mereka.


Lalu berjalanlah mereka dengan menyeret kulit-kulit tubuh yang melekat di kaki seperti berjalannya pengantin perempuan yang mengheret busana labuh.

Maka jika sudah terlanjur berdosa, segeralah memohon ampun kepadaNya. Allah maha Penerima Taubat. Dia akan mengampunkan hambaNya yang ikhlas memohon keampunanNya.

Janganlah sekali-kali kita berputus asa daripada pertolongan Dia Yang Maha Menolong ini.

Ya Allah, rahmatilah kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Merahmati, dan jangalah Engkau menyiksa kami kerana sesungguhnya Engkau amat berkuasa ke atas kami.


Jumaat, 6 Januari 2012

Salah tafsiran hal mengumpat





SERINGKALI kita mendengar: “Aku bukan nak mengumpat, tapi ini cerita betul, sumpah aku tak tipu...” Kata-kata seperti ini atau yang seumpamanya dimanfaatkan oleh pengumpat sebagai pembuka bicara. Sedar atau tidak, sebenarnya mereka sudah melakukan dosa besar dan berhadapan dengan ancaman Allah. Hal ini berlaku kerana mereka memberikan tafsiran salah mengenai mengumpat. Bagi mereka, bercakap perkara benar yang dibenci pelakunya pada orang lain bukan dikategorikan sebagai mengumpat.


Apa itu mengumpat? 
Mengumpat dalam bahasa Arab adalah ‘ghibah’. Ia berasal daripada perkataan ‘ghaaba’ iaitu hilang daripada pandangan. Disebut ‘ghibah’ kerana perbuatan mengumpat dilakukan tanpa kehadiran orang yang diumpat. (Lihat: 'Umdat al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari oleh al-'Aini, 8/208).

Al-Imam al-Munawi berkata: “Ghibah (mengumpat) adalah menyatakan keaiban seseorang di belakangnya sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau isyarat.” (Lihat: Faidh al-Qadir Sayarh al-Jami' al-Shaghir oleh Zainuddin al-Munawi, 3/166).


Nabi sallallaahu 'alaihi wa sallam (s.a.w) pernah menjelaskan mengenai erti mengumpat. Sabda Baginda: “Mengumpat adalah menyebut sesuatu perkara yang tidak disukai saudaramu (di belakangnya). Lalu seorang sahabat Baginda bertanya: Apa pandanganmu sekiranya apa yang aku sebutkan benar-benar ada saudaraku? Nabi menjawab: “Jika engkau menyebut sesuatu yang benar-benar ada pada saudaramu (sedang dia tidak menyukainya), maka kamu sudah mengumpatnya. Jika sesuatu yang kamu sebutkan tidak berlaku ke atas saudaramu, maka kamu sudah memfitnahnya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2591)

Saya anggap penjelasan Nabi sangat mudah difahami. Semua perkara dibenci saudara kita untuk didedahkan walaupun ia benar, maka usaha mendedahkannya dikategorikan Nabi sebagai mengumpat.

Ancaman Allah:

Firman Allah, maksudnya: “Dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?
Maka tentulah kamu berasa jijik padanya. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, 49:12)

Firman Allah lagi: Maksudnya: “Kecelakaan bagi pengumpat dan pecela.” (Surah al-Humazah, 104:1)

Sabda Nabi maksudnya: “Sesiapa yang menyelamatkan daging (kehormatan) saudaranya daripada diumpat, nescaya Allah akan membebaskan dia daripada neraka.” (Hadis riwayat Ahmad, no: 27062)

Ini bererti sesiapa yang mengumpat, balasannya neraka Allah, na'uzubillah. Bahkan banyak lagi hadis Nabi yang mencela pengumpat.

Mengumpat yang dibolehkan:

Al-Imam al-Nawawi menyenaraikan enam keadaan yang dibolehkan mengumpat.
(Lihat al-Azkar oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi, hal. 208).

1. Ketika dizalimi. Orang yang dizalimi harus menceritakan mengenai orang yang menzaliminya kepada polis, peguam, hakim atau pihak berkuasa agar tindakan diambil.

2. Ketika memohon bantuan untuk mencegah kemungkaran. Jika kita terlihat maksiat, tetapi tiada upaya untuk mencegahnya. Seperti tiada ilmu untuk menegur maksiat tersebut. Maka, kita boleh memohon pertolongan orang yang berilmu untuk mencegah maksiat tersebut dengan ilmunya.

3. Ketika meminta fatwa. Seperti isu rumah tangga yang perlukan penyelesaian melalui fatwa hakim atau mufti.

4. Ketika mengingatkan seseorang daripada bahaya. Seperti menasihat penuntut ilmu agar tidak mengambil ilmu dari orang yang jahil.

5. Ketika menegur perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan.
Seperti teguran peminum arak, kaki judi dan lain-lain.

6. Ketika menjelaskan tanda pengenalan diri seseorang: Seperti kita ingin mencari seseorang yang kita terlupa namanya, tetapi kita hanya ingat sifatnya yang kurang sempurna. Lalu dinyatakan sifat tersebut agar dapat menemuinya.

 Al-Syeikh Salim Al-Hilali berkata: “Keharusan mengumpat untuk keadaan-keadaan di atas adalah hukum susulan bukan hukum asal. Oleh itu, jika hilang sebab-sebab yang membolehkan mengumpat, maka dikembalikan hukumnya kepada hukum asal iaitu haramnya mengumpat.

Katanya lagi, “Dibolehkan mengumpat kerana darurat. Oleh itu, perbuatan mengumpat itu diukur sesuai dengan keperluannya sahaja. Maka tidak dibolehkan memperluaskan bentuk- bentuk di atas. Bahkan orang yang berada dalam salah satu daripada keadaan darurat di atas (sehingga dia dibolehkan mengumpat) hendaklah bertakwa kepada Allah dan janganlah dia menjadi termasuk di kalangan orang yang melampaui batas.” (Lihat Bahjat al-Naadzirin Syarh Riyadh al-Solihin oleh Salim al-Hilali, 4/35-36).

Isu dan tindakan kita:

Apa yang membimbangkan umpatan pada hari ini berunsur mengapi-apikan antara satu dengan yang lain. Bermula daripada isu politik negara yang membabitkan pemimpin kerajaan dan pembangkang sehingga isu anak melayu yang berkahwin sesama jantina, isu pelajar pintar yang dikatakan berubah sikap, isu gosip di kalangan artis dan lain-lain, kebanyakannya disebarkan dalam bentuk mendukacitakan. Bahkan dilihat seolah-olah melaga-lagakan sesama manusia.

Takuti ancaman Nabi:

Maksudnya: “Tidak akan masuk ke syurga pengadu domba.” (Hadis riwayat Muslim, no: 06).

Kita perlu bertindak lebih matang dan menjaga prinsip sebagai seorang Muslim dalam mengulas apa jua isu agar tidak tergolong di kalangan pengumpat dan pengadu domba, apatah lagi pendusta. Memastikan kebenaran maklumat yang diperoleh, bersangka baik, menasihati secara berhadapan, membetulkan kesalahan secara umum, bersabar dan berdoa adalah jalan keluar terbaik.

Ruangan minda kali ini diakhiri dengan memetik pesanan Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau berdiam diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no: 6018) 





Sumber : SINI

Video Live : Jawapan Lengkap Nur Amalina Che Bakri


Jawapan Lengkap Nur Amalina Che Bakri

Semalam, bermula jam 5.17 petang, sekumpulan wartawan tempatan berada di rumah ibu pelajar cemerlang 17A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005, Nur Amalina Che Bakri bagi mendengar sendiri jawapannya terhadap semua isu yang tersebar di media sosial.
Perbualan melalui sidang video Skype lebih sejam sangat mesra malah penuntut Universiti Edinburgh, United Kingdom itu menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.
Kini berusia 24 tahun, gadis yang lahir pada 7 Disember ini sekali lagi menjadi tajuk utama akhbar tempatan semalam; genap setahun selepas kisahnya dipaparkan mengenai dakwaan dia gagal dalam pengajiannya di luar negara  dan pulang senyap-senyap ke rumah ibunya.
Khabar angin itu bagaimanapun tidak benar. Sekali lagi, minggu ini, kisah gadis pintar ini hangat diperkatakan.
Media sosial sejak beberapa hari lalu hangat memperkatakan tentang isu gambar Nur Amalina mengenakan ‘legging’ yang diambil dari arkib foto akaun Facebook miliknya.
Mungkin ini harga yang perlu dibayar menjadi seorang ikon yang cemerlang dalam pendidikan sehingga menjadi rutin tahunan yang perlu dihadapi keluarganya.
Sebelum mendengar penjelasan Nur Amalina, perkembangan terkini gadis ini harus diberi perhatian kerana kini turut terlibat dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk dimuatkan dalam jurnal perubatan di Eropah.
Apa yang membanggakan, selain pengajian perubatan, Nur Amalina yang memperolehi keputusan cemerlang, turut ditawarkan mengambil ijazah tambahan dalam bidang farmakologi dalam tempoh setahun berbanding empat tahun.
Pastinya bukan mudah untuk bergelut dengan dua ijazah apatah lagi di negara asing. Berikut adalah cerita Nur Amalina:

Sesuai dengan anugerah sebagai pelajar cemerlang, Nur Amalina juga bijak menangani isu yang menyelubunginya dan tak mudah melatah. Langkah pertama dilakukan ialah menghubungi ibunya, Sabariah Hasaan bagi mendapatkan nasihat.
Ini pula penjelasan Nur Amalina terhadap isu foto ‘legging’ dan bersama rakan lelaki yang tersebar luas di internet. Antaranya foto yang tersebar adalah koleksi peribadi dan diambil tanpa kebenarannya dengan niat tidak baik termasuk untuk mengaibkannya:
Menganggap dirinya sebagai seorang yang ekspresif dalam fesyen, ia tidak pula dianggap sebagai lesen untuk dia melampaui batas. Legging itu tampak seperti mendedahkan kulitnya, walhal ia dibeli oleh ibunya.
Nur Amalina turut dikecam kerana didakwa melucutkan tudung sebaik menjejakkan kaki di perantauan. Ramai menganggap Nur Amalina sengaja menanggalkan tudung bagi menyesuaikan diri dengan negara Barat. Seeloknya, kita dengar apa justifikasi Nur Amalina:
Menurut Nur Amalina, dia bersedia untuk menerima teguran yang diberikan untuk dijadikan panduan serta bimbingan hidupnya namun biarlah ia dilakukan secara berhemah. Dia turut memohon agar semua foto milik peribadinya dibuang dari internet kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi mengaibkan apatah lagi jika yang melihatnya tidak menerima gambaran sebenar dan lebih jelas.

Nur Amalina melanjutkan pengajian ke United Kingdom sejak lapan tahun lalu bagi menduduki peperiksaan A Level melalui tajaan Bank Negara Malaysia.
Disebalik khabar angin berniat negatif mendakwa pelajar itu sudah pulang ke Malaysia kerana gagal dalam penganjiannya pada 2009, Nur Amalina terus memperolehi pelbagai kecemerlangan dalam bidang yang dipelajarinya. Antaranya:
June – sekarang:
Medical Research Intern
Edinburgh Breast Unit WGH & Cancer Research UK, Edinburgh
Feb – May 2010
ERASMUS Research Intern
CHDR, The Netherlands
Aug – Sept 2009
District Medical Officer
Meru District Hospital, Tanzania
Bertugas di wad bersalin, pediatrik, HIV dan kecemasan.
Pada ketika kita mencemuh tentang betapa tidak Islamnya Nur Amalina, dia turut melakukan khidmat masyarakat mengajar Bahasa Inggeris bukan di kondominium mahupun banglo berkolam renang, sebaliknya di Orphanage, Tanzania dan Zanzibar, pada 2009.
Dia juga mengajar bahasa yang sama sejak 2008 hingga kini di Bergamo Scuole Elementare, Itali.
Bagi kerja kerja penyelidikan, Nur Amalina kini giat menyiapkan draf bagi bab terakhir kertas “Reproductive: Obstetrics and Gynaecology” in ABC of Medically Unexplained Symptoms 2011/2012
di bawah seliaan Dr Andrew Horne, Consultant Gynaecologist, Royal Infirmary of Edinburgh, University of Edinburgh.
She is writing a book chapter on medically unexplained symptoms in obstetrics and gynaecology, which involved chronic pelvic pain, dyspareunia and vulvodynia.
Sementara kita semua hanya hebat menulis di blog/twitter/facebook seperti aku, Nur Amalina juga dalam proses menyiapkan manuskrip untuk satu terbitan dalam Journal of Clinical Oncology bagi kajiselidik “The resection of lymph nodes and the consequences in survival rate of patients with breast cancer (2011/12)” di bawah pengawasan Prof Mike Dixon, Professor of Surgery and Consultant Surgeon, Edinburgh Breast Unit, Western General Hospital.
Hakikatnya, disebalik sifat rendah diri yang ditonjolkan Nur Amalina sepanjang video chat itu, aku terasa kita seharusnya menyokong dan sentiasa mendoakan kejayaan dia kerana dia adalah harapan untuk generasi akan datang.
Dan pada Nur Amalina, aku sendiri berharap dan berdoa akan terus tintakan dalam hati dan ingatan – ajaran agama serta budaya kita dengan menjadikan kes-kes terdahulu sebagai teladan.
Dan pada yang terus mencemuh gadis ini, adakah anda semua tahu akan pencapaian gadis ini? Makan atau tidak gadis ini di perantauan? Siapa yang menjenguk dirinya bila sakit? Bukankah kita semua belajar itu semua sebagai sebahagian dari adab kita?
Marilah kita memdoakan yang terbaik buat nur amalina dan semoga di kuatkan imannya dengan ajaran allah swt serta menjadi wanita yang solehah.aminn.....

Khamis, 5 Januari 2012

biar mati anak, jangan calar BMW


Gambar Hiasan





Story dari seorang sahabat …Ini adalah sketsa keluarga seperti yang dilaporkan oleh wifenya. Berlaku pada 1 Februari 2008.

Masa rehat jumaat tadi, wifenya pergi Shah Alam Mall.

Setelah lunch kat situ dengan member dia, mereka berjalan menuju ke car park.

Car park yang mengadap DEMC tu..

Kelihatan lebih kurang 50 orang manusia sedang mengerumuni sebuah BMW. Kelihatan di sebelah BMW seorang perempuan sedang menangis…alahai kesiannya…

Wifenya mendekati kumpulan orang ramai dan mendapati ada seorang budak lelaki berumur 1 tahun sedang menangis meronta-ronta dalam car seat kat belakang (dalam BMW tu).

Perempuan yang menangis di tepi kereta adalah mak budak tu. Mereka laki bini terkunci anak dalam kereta rupanya …

Terdengar orang sekeliling sedang memarahi perempuan tu…

Pompuan A: umpil aje la pintu kereta ni..

Mak Budak tu: tak boleh…(sambil menangis)… nanti suami saya on the way balik ambil kunci spare…

Pompuan C: Isk tengok tu, sengsaranya baby tu menangis, u sanggup biar anak u mati ke?

Mak budak tu: (sambil menangis)… nanti suami saya marah…

Pakcik B: isk kalau saya punya anak, kalau tertinggal kunci, saya takkan patah balik rumah, saya pecahkan aje cermin kereta ni…

Pakcik C: “Mana bapaknya???”

Mak Budak tu: “Dia balik Meru ambil kunci”

Semua orang: “Apa! Meru!!!”

Suasana menjadi kelam kabut sebab orang ramai menjerit-jerit memaksa untuk pecahkan cermin kereta
tu. Suasana gamat macam perhimpunan haram...

Tapi mak budak tu tak berani buat keputusan. Dia asyik kata…”saya takut suami saya marah” “Tunggu suami saya datang”…Tetiba ade sorang akak tampil dan jerit: pegi ambil kapak, pecahkan cermin kereta ni…biar saya yang jawab dengan suami awak. Awak tak sayang nyawa anak ke?

Sambil beberapa orang pergi mencari tools utk pecahkan cermin keta, beberapa orang pengawal keselamatan sibuk ambil beberapa baldi air dan menyiram kereta BMW tu kerana kasihankan anak yang sedang kepanasan dan kelemasan dalam kereta tu…

Seorang mekanik cina dari bengkel berdekatan dipanggil untuk umpil pintu. Cina mekanik memberi komen” aiya ini keleta tak boleh umpil, kena kasik picah cermin juga baru boleh masuk!”

Tak lama kemudian seorang mamat tiba dengan kapak keselamatan, maka dikapak cermin tepi sebelah
pemandu…praannng. …!!!! Selesai masalah…

Tak lama selepas itu baby tersebut berjaya dikeluarkan. ..kesian baby tu..berpeluh- peluh dengan
kulit pun pucat dah naik biru….

Seorang lagi lelaki menjerit “biar saya periksa dia…. saya doktor”. Si doktor mendukung bayi dan
bergegas ke DEMC untuk memeriksa bayi tu…

Sehingga bayi tersebut dibawa ke DEMC…bapak dia masih tak muncul-muncul…ye la Meru tu kan jauh….mungkin bapak dia singgah makan sate kambing dulu…

Sumber : SINI

Gaji PM Singapura RM5.31 juta



GAMBAR fail menunjukkan barisan Kabinet Singapura bergambar selepas mereka mengangkat sumpah pada 21 Mei tahun lalu.



SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerima saranan sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh pemerintah bagi mengurangkan gajinya, para menteri Kabinet dan Presiden negara berkenaan.
Saranan tersebut melibatkan pemotongan sekurang-kurangnya satu pertiga gaji menteri-menterinya yang berjumlah jutaan dolar, menurut dokumen tangga gaji baharu semalam.
Walaupun pemotongan tersebut dibuat, menteri di Singapura kekal antara menteri yang menerima gaji termahal di dunia.
Pemotongan gaji itu pernah dijanjikan oleh Hsien Loong bagi meredakan kemarahan rakyat selepas pilihan raya umum 2011 berlangsung.
Hsien Loong sendiri akan menerima gaji berjumlah AS$1.69 juta (RM5.31 juta) setahun iaitu pengurangan sebanyak 36 peratus berbanding sebelumnya.
Jumlah tersebut bagaimanapun kekal menjadi gaji tertinggi dalam kalangan pemerintah sesebuah negara di dunia.
Sebagai perbandingan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerima gaji AS$400,000 (RM1.25 juta) setahun.
Obama merupakan Presiden yang mempunyai 312 juta penduduk dan merupakan negara paling kuat berdasarkan kekuatan ketenteraan dan ekonomi.
Gaji Presiden Singapura pula akan dipotong sehingga 51 peratus kepada Sg$1.54 juta (RM3.76 juta) setahun manakala menteri Kabinet yang baharu dilantik akan menerima separuh gaji Perdana Menteri.


LEE HSIEN LOONG


Gaji menteri pemerintah akan dikurangkan sebanyak 37 peratus setahun kepada SG$1.1 juta (RM2.68 juta).
Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang menerima gaji AS$543,500 (RM1.7 juta), Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda sebanyak AS$513,000 (RM1.6 juta) dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard memperoleh gaji AS$379,000 (RM1.19 juta).
Gaji Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy ialah AS$302,000 (RM949,185), Canselor Jerman, Angela Merkel mendapat gaji AS$296,000 (RM930,327) dan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang memperoleh gaji AS$222,000 (RM697,745).
Gaji para pemimpin Singapura melonjak dalam tahun 1990-an apabila ia menjadikan purata gaji tertinggi sektor swasta di pulau itu sebagai tanda aras.
Langkah pemotongan gaji tersebut membayangkan tekanan yang dihadapi parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP).
PAP yang memerintah Singapura sejak negara itu berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965 mencatat prestasi buruk pada pilihan raya 2011.
Undi yang diterima PAP semasa pilihan berkenaan berkurangan sebanyak 60 peratus sekali gus bilangan undi terendah yang pernah dicatat parti pemerintah itu.