Ahad, 29 April 2012

Jumpa Bapa 30 Tahun Terpisah

SAYANG...Omar  dipeluk cucu, Mohd Asraf  sambil diperhatikan bapanya  Abdul Wahab  ketika pertemuan mereka di Hentian Bas MBKT.


KUALA TERENGGANU: “Yang lepas tu, biarlah berlalu... perasaan saya kini bercampur-baur antara sedih dan gembira apabila bertemu semula dengan bapa selepas hampir 30 tahun berpisah,” kata Abd Wahab Omar, 49, yang menemui bapanya, Omar Muhammad, 82, di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, awal pagi semalam.
Abd Wahab berkata, sejak ibu bapanya bercerai ketika dia berusia enam tahun, mereka sekeluarga tidak pernah bertemu kerana ibu dan bapanya masing-masing berkahwin lain.

Dia yang dilahirkan di Segamat, Johor dan dibesarkan di Tawau, Sabah sebelum menetap di Puncak Alam, Kuala Selangor berkata, perpisahan keluarga yang memeritkan terjadi ketika dia dan seorang adiknya yang sudah meninggal dunia, masih kecil serta memerlukan tempat bergantung.


Katanya, sukar untuk dia menceritakan perselisihan faham yang berlaku sehingga menyebabkan keluarganya berpisah dan tidak menyangka rutin hariannya membaca Harian Metro kelmarin membawa khabar gembira apabila melihat wajah seorang lelaki yang hidup merempat di hentian bas mirip bapanya.

“Sebaik membaca berita disiarkan, terdetik di hati, lelaki itu bapa saya dan terus menelefon pejabat Harian Metro untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum mengenal pasti dia ayah saya selepas bercakap dengannya menerusi telefon.


“Tanpa berlengah, saya terus menaiki kereta bersama dua anak ke Kuala Terengganu untuk bertemu bapa dan tidak menyangka pertemuan ini berlaku pada awal pagi selepas azan Subuh, menjadikan lidah saya kelu untuk berkata-kata ketika memeluk bapa sehingga menitiskan air mata,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bas.



Menurut bapa kepada enam anak itu, dia berterima kasih kepada Harian Metro kerana membantu mempertemukan semula bapanya yang terputus hubungan sejak 30 tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh itu dia pernah mencuba mencari bapanya tetapi tiada maklumat sama ada masih hidup atau mati kerana sering berpindah, menyebabkan usaha mereka terbantut.


“Selepas bapa bercerai dengan ibu, saya dibesarkan bapa tiri dan hanya bertemu dengannya ketika melawat bapa di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot ketika berusia 19 tahun.

“Bagaimanapun, bapa tidak terus menetap di situ serta merantau semula ke beberapa negeri dan sejak itu kami terputus hubungan serta tidak pernah berjumpa lagi,” katanya sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai hadiah awal sempena ulang tahun ke-10 anak bongsunya, Mohd Ashraf esok.


Sementara itu, Omar yang kelihatan ceria ketika bergurau dengan dua cucunya, Asrul Safuan, 23, dan Mohd Ashraf berkata, dia terharu apabila mendengar cucunya memanggil dia ‘atuk’.


Menurutnya, dia tidak menduga hidupnya yang terpaksa mengemis untuk mengisi perut sejak empat bulan lalu itu kini berubah selepas anak sulungnya menawarkan untuk tinggal bersama.


“Lidah saya kelu dan sukar meluahkan perasaan terharu apabila melihat Abd Wahab sudah besar dan membawa anaknya untuk menjemput saya ke rumah mereka,” katanya sambil mengesat air mata dan saling bermaafan antara mereka berdua.


Kelmarin, Harian Metro melaporkan kisah penderitaan seorang warga emas yang terpaksa mengemis dan mengumpul kotak untuk mengisi perut serta menjadikan hentian bas sebagai tempat kediamannya.


Lebih malang, Omar berkata, rumahnya terpaksa dirobohkan akhir tahun lalu kerana didirikan atas tanah milik orang lain, menyebabkan dia hilang tempat berlindung.


Dia yang pernah bekerja sebagai nelayan mendakwa hanya membawa sehelai selimut, tikar, tuala, sejadah dan beberapa helai pakaian ke hentian bas berkenaan selepas keluar dari rumahnya, empat bulan lalu.


Menurutnya, segala makan minumnya setiap hari adalah daripada belas ihsan orang ramai yang simpati dengan nasibnya.



Sumber : Harian Metro