Sabtu, 13 Ogos 2011

Bunuh Bapa ,Tikam ibu angkara marah kucing





        Hanya kerana seekor kucing, seorang warga emas maut manakala isterinya cedera akibat ditetak di kepala oleh anak mereka yang mengalami masalah mental.
Kejadian amuk itu berlaku di Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak di sini ketika keluarga berkenaan sedang bersiap-siap untuk berbuka puasa kira-kira jam 7.15 malam kelmarin.


Saman Sirun, 60, yang cedera teruk di kepala dan tangan serta putus pergelangan kaki kanan mati dalam perjalanan ke hospital manakala isterinya, Hasnah Abdul Majid, 51, menerima lima jahitan di belakang kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Nerang.

Menantu mangsa, Mohd Nazrin Zainon, 32, berkata, suspek yang juga abang iparnya berusia 33 tahun baru pulang dari Jitra selepas membeli pakaian untuk persiapan Aidilfitri sebelum balik ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa dengan menaiki Proton Iswara.



“Selepas balik dia terus mengejar kucing yang berkeliaran dalam rumah dan pada masa sama ternampak dia memarahi anak-anaknya kerana membuat bising.


Jumaat, 12 Ogos 2011

Kisah Benar Melayu/ Islam Berlindung Di Gereja



     Baru-baru ini Harapan Komuniti – NGO yang menganjurkan majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam – tampil membuat penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.
Pengarah eksekutif NGO itu – yang membantu golongan miskin dan ‘melarat’ dan penghidap HIV dan AIDS – Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti” sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.
Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.
Sementara peguam mereka pula, Annou Xavier berkata Malaysia sepatutnya bernasib baik kerana mempunyai pertubuhan seperti Harapan Komuniti yang memberi “harapan” kepada golongan yang memerlukan, orang miskin dan golongan terpinggir.
Bagaimanapun, katanya, pada “malam yang malang itu”, JAIS sebaliknya menyerbu majlis amal kesyukuran tersebut, atas andaian bahawa berlaku kes penukaran agama.
Sejujurnya saya tidak mahu prejudis atau berprasangka kepada mana-mana pihak, apatah lagi sekiranya mereka mendakwa mereka melakukan kerja amal dan sebagainya.
Cuma saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku kira-kira dua tahun lepas di sebuah gereja yang terletak di atas bukit di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Ada pihak yang mendakwa ia bukanlah gereja daripada erti kata yang sebenarnya, tetapi sudah bertukar menjadi Rumah Perlindungan HIV yang dikendalikan sekumpulan mubaligh Kristian.
Gereja ini juga dikenali sebagai White House (walaupun bentuknya jauh berbeza dari kediaman Presiden Amerika yang terletak di Washinton itu)
Ia ada salib yang besar, setiap pintu bilik digantung gambar Jesus Christ, ada kata-kata yang dipetik dari buku Bible dan terdapat sebuah dewan syarahan besar yang penuh dengan lambang agama berkenaan.
Mereka mendakwa mereka membantu para pesakit HIV/AIDS yang terbiar di jalanan, tanpa ada niat yang ‘terselindung’
Ya, saya kagum dengan usaha itu.
Cuma yang agak ‘menggerunkan’, hampir sebahagian daripada mereka yang berlindung di dalam premis itu adalah orang Melayu, orang Islam!
Selama ini saya hanya mendengar ramai anak Melayu yang berlindung di dalam gereja, majoritinya mereka yang daif dan berpenyakit.
Katanya ini kerana masyarakat Melayu atau Islam sendiri memandang keji terhadap golongan ini hingga mereka tidak tahu ke mana hendak mengadu.
Akhirnya mubaligh Kristian membawa mereka ke rumah perlindungan atau gereja seperti di White House ini.
Walaupun pihak gereja ada menyediakan bilik kecil yang mereka dakwa surau untuk membolehkan penghuni Islam beribadat, namun realitinya kehidupan penghuni Islam di situ tidak ada banyak bezanya dengan penghuni bukan Islam.
Mereka tinggal di dalam bangunan yang dipenuhi mubaligh Kristian, mereka berkumpul di dewan ‘syarahan’ Kristian, dan bilik tidur mereka juga dihiasi dengan gambar Jesus seperti mana yang saya katakan tadi.
Saya rasa penganut agama Kristian juga akan merasa tidak selesa sekiranya perkara itu terjadi kepada penganut mereka….apa perasaan mereka agaknya jika saudara seagama mereka tinggal di bangunan yang dipenuhi Ustaz, berkumpul di dewan solat dan tidur di bilik yang dipenuhi ayat suci Al-Quran yang bergantungan.
Alhamdulilah, dengan inisiatif seorang guru agama terkenal, Ustaz Muhammad Amin, pada 13 Julai 2009, saya  dan rakan-rakan serta sekumpulan NGO yang diketuai oleh Muhammad sendiri bertolak ke gereja berkenaan dengan berbekalkan satu misi- mengeluarkan semua pesakit Melayu dan Islam dari gereja itu.
Setibanya kami di sana, kami disambut oleh Razak, antara penghuni Melayu yang telah lama tinggal di situ
Masuk saja ke dalam gereja tersebut, bau kuat ubat terus menusuk hidung, ia seolah-olah sebuah ‘mini hospital’
Di belakangnya telah menunggu tidak kurang daripada 20 orang anak-anak Melayu, kesemuanya pembawa virus HIV
Melihat saja kelibat mereka, saya hampir menitiskan airmata, kesemua mereka yang berkain pelikat menyambut kami dengan wajah yang sedih dan sayu
Ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda, ada yang sedang demam dan ada yang baru keluar dari wad
Hampir sejam kami mendengar keluhan hati mereka, mendengar kisah bagaimana mereka dihina, disisih, didiskriminasi dan berbagai lagi oleh masyarakat sekeliling
Pun begitu, mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya gereja tersebut sudi ‘mengutip’ mereka daripada terus menjadi sampah dalam masyarakat
Selepas itu, kami berkesempatan bertemu dengan salah seorang paderi di situ, beliau ternyata cukup profesional dan melayan kami dengan tanpa rasa curiga
Untuk pengetahuan anda, saya sebagai orang Islam sebenarnya sangat malu ketika berada di gereja berkenaan
Bayangkan, walaupun saudara-saudara kita itu bukan dari agama mereka, tetapi saudara-saudara kita itu dilayan bak menatang minyak yang penuh
Saudara-saudara kita itu dimandikan, diberi ubat, diberi makan sehingga ke peringkat dipakaikan lampin oleh petugas di gereja tersebut
Saya tertanya pada diri sendiri, kenapakah kita tidak boleh jadi seperti mereka sedangkan agama kita juga adalah yang terbaik, kita ada al-Quran sebagai panduan, semuanya cukup lengkap tetapi sayang ia tidak diterjemahkan dengan baik oleh para pengikutnya
Selepas kira-kira sejam di gereja tersebut, kami berjaya membawa keluar seorang demi seorang anak Melayu daripada gereja berkenaan, Alhamdulillah, paderi tersebut melepaskannya dengan rela hati.
Saya berharap dalam membantu golongan yang memerlukan, sama ada kerana penyakit, kedaifan dan kemiskinan, kita sebagai umat Islam kena betul-betul membantu dalam erti kata yang sebenarnya.
Agensi-agensi yang diberi amanah harus melaksanakan amanah mereka dengan bersungguh-sungguh.
Adalah mudah untuk mencari kesalahan tetapi itu tidak akan menyelesaikan masalah, tindakan yang pro-aktif perlu disemai dalam setiap sanubari agar golongan sebegini dapat dibantu dalam menjalani kehidupan yang singkat ini
Yang paling penting, sekiranya kita tidak mahu iman dan akidah saudara kita dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kita sendiri terlebih dahulu kena memnghulurkan tangan dan menarik mereka keluar dari segala kesulitan ini.
Saya masih ingat kata-kata Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin
Katanya memang ada kebenaran mengenai dakwaan pendekatan dakwah Islam lemah dari segi psikologi berbanding gerakan mubaligh Kristian.
Kata Dr. Abd. Aziz, Ini kerana ramai pendakwah kita melihat kerja dakwah ialah menyebar agama kepada golongan sasar tanpa melihat keperluan dan keadaan diri mereka.
Ini menyebabkan kalau keadaan itu sesuai dengan seseorang, ia akan diterima. Jika tidak, usaha itu akan gagal.
Menurut beliau, pihak kristian misalnya melihat kepada aspek keperluan.
Contohnya, gerakan kepada masyarakat orang Asli.
Mereka akan duduk bersama golongan sasar bertahun-tahun lamanya bagi mengkaji cara hidup golongan ini.
Mereka juga mempunyai satu pasukan lain untuk berdakwah kepada kumpulan sasar berdasarkan maklumat-maklumat kajian tadi.
Pendekatan begini jarang dicontohi oleh pendakwah Islam.
Selain itu, menurut Dr. Ab. Aziz, gerakan kristian mempunyai strategi suka mengambil peluang.
Ia menyebabkan kumpulan sasar akhirnya termakan akibat ‘paksaan secara halus’.
Mereka memberi perhatian kepada kebajikan dan menghulur bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.
Akhirnya, kumpulan sasar terpaksa terima. Jika tidak, masalah tidak selesai.
Kesimpulannya jika kita tidak bertindak cepat dalam menangani permasalahan ini, jangan terkejut jika lebih ramai umat Islam di muka bumi ini akan menghuni pusat perlindungan seperti di White House…atau gereja…atau apa saja nama dan gelaran yang kita beri padanya!

Wanita dirompak,diperkosa dan disimbah asid ke muka




     Bukan saja dirogol dan disamun, malah wajahnya turut disimbah sejenis cecair dipercayai asid menyebabkan mangsa berdepan risiko kemungkinan buta dan kini terlantar menerima rawatan di hospital.
Itu nasib yang menimpa seorang wanita bujang dan tinggal bersendirian selepasnya rumahnya dicerobohi seorang penjenayah bertopeng, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun baru pulang ke rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, selepas membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

Menurut sumber polis, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki menceroboh masuk dan bersembunyi.


“Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya,”

Sabtu, 6 Ogos 2011

Jimmy Shanley menjawab kenyataan Nursuhaila Eliani Suhaimy






   Jimmy tidak menyesal tetapi terkilan dengan apa yang berlaku dalam diari kehidupannya sebagai suami dan ayah, bagi pengacara Jimmy Shanley semua itu telah tertulis oleh Ilahi buat dirinya.


Menganggap dirinya sebagai antara makhluk Tuhan yang istimewa kerana diuji dengan cabaran hidup berumahtangga seawal usia perkahwinannya, doa Jimmy moga dia tabah mengharungi dugaan itu.


"Saya tak menyesal tapi terkilan dengan apa yang berlaku. Apa pun saya anggap semua itu ketentuan Tuhan dan Tuhan pilih saya untuk mengharungi cabaran tersebut. " Saya tak gembira sebagai suami tapi saya masih gembira sebagai bapa ".


Jika sebelum ini Jimmy Shamley banyak bersuara, terbaru isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy pula tampil membuat kenyataan mengenai kemelut rumahtangga mereka serta nekad mahu menuntut cerai.


Menganggap tindakan isterinya sebagai tindakan seorang wanita akibat kemurungan selepas bersalin, Jimmy Shanley bagaimanapun menafikan beberapa perkara yang diperkatakan oleh wanita itu.


"Memang ramai cakap, cerai jelah sebagai jalan mudah untuk semua orang. Tapi kita dah ada orang ketiga iaitu anak. Tapi, kalau dia nak bawa ke mahkamah juga biarlah selesaikan dahulu kes nusyuz yang saya tampilkan dulu. Kemudian, barulah fikir tentang cerai.
"Perkara - perkara yang dia sebut hari itu, seperti pukul dan saya tak ada kawan, apa yang boleh saya katakan ialah saya pukul untuk mengajar. Kalau isu kawan, memang saya tak ada kawan ramai. Bagi saya kualiti lebih penting daripada kuantiti,"katanya yang bersedia untuk ke mahkamah untuk mendedahkan segalanya.


Ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkannya dalam satu wawancara menerusi program hiburan popular televisyen, yang menjurus seolah-olah anak hasil perkahwinan mereka, Zahrah Shanley bukanlah anak daripada zuriatnya, kata Jimmy, segalanya akan diterangkan di mahkamah kelak.


"Saya tak nak gaduh atau memalukan sesiapa. Jadi, biarlah segalanya akan diceritakan di mahkamah nanti. Kalau boleh, saya tak mahu mengambil anak daripada ibunya. Mala, saya juga telah bersedia dengan apa yang akan berlaku nanti,"katanya yang menafikan berkahwin dengan Suhaila kerana mahu mengikis harta wanita tersebut.



ex-boy dan ex-girls main rebut-rebut kucing

Mungkin kucing macam nie yang dia orang rebut2 kan tu !!! kalau macam nie aku pun nk jgk weyy... Mantop tu....


     Hanya kerana seekor kucing, seorang lelaki sanggup mengugut menyimbah asid kepada bekas teman wanitanya selepas hasrat ingin mengambil semula haiwan itu gagal dalam kejadian di kediaman wanita itu di Pinggiran Batu Caves, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun sedang menonton televisyen sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum menerima panggilan telefon daripada bekas teman lelakinya itu.

Menurut sumber, dalam perbualan telefon itu, lelaki terbabit meminta mangsa keluar berjumpa dengannya di luar rumah kerana dia sedang menunggu di depan pintu.


“Pada mulanya mangsa enggan dan menyuruh lelaki itu pulang, namun selepas termakan pujuk rayu, akhirnya dia bersetuju dan membuka pintu rumah.

“Lelaki itu memberitahu tujuan kedatangannya iaitu untuk mengambil semula kucing yang diberi setahun lalu,” katanya.


Bagaimanapun, mangsa enggan menyerahkannya dengan alasan lelaki itu tidak pernah mengambil tahu malah dia yang menjaga haiwan itu selama ini.


“Lelaki itu cuba memujuk mangsa, namun tidak berjaya apabila mangsa tetap dengan pendiriannya.

“Geram permintaannya tidak dilayan, lelaki itu memaki-hamun mangsa dan mengugut akan menyimbah asid ke muka wanita itu jika mereka bertemu di luar,” katanya.



Menurutnya, mangsa yang ketakutan terus masuk ke dalam rumahnya semula dan mengunci pintu.

“Beberapa minit selepas itu, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada lelaki itu yang mengugut akan mencederakan mangsa.


“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang,” katanya.

Peragut ragut gelang emas anggota polis




         “Saya minta maaf, ambillah semula gelang ini. Jangan belasah saya,” rayu seorang peragut apabila mendapati wanita yang diragutnya di Bulatan Jalan Sultan Omar di sini, kelmarin, adalah seorang anggota polis.
Namun, lelaki berusia 26 tahun itu cuba melarikan diri, tetapi dikejar anggota polis wanita berkenaan sebelum dia ditahan anggota Pasukan Khas Ragut yang tiba tidak lama selepas itu.

Mangsa, konstabel Siti Hawa Norashid, 25, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu bermula apabila dia dihampiri suspek yang menunggang sebuah motosikal Yamaha ketika tiba di Jalan Sultan Omar sebelum lelaki itu meragut gelang emas di tangan kanannya.


“Saya yang terkejut dengan kejadian itu, nekad mengejarnya. Pada masa sama, suspek yang hilang kawalan gagal mengawal motosikalnya sebelum dia terbabas dan jatuh.

“Dalam keadaan kakinya yang berdarah, suspek sempat meminta maaf dan memulangkan semula gelang saya. Bagaimanapun, saya sempat bergelut dan memukulnya antara dua hingga tiga kali menggunakan topi keledar,” katanya ketika ditemui di Bulatan Jalan Sultan Omar di sini, kelmarin.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek bertindak meragut gelang emas di tangan kanan mangsa yang menunggang skuter MZ Mosquito sebelum melarikan diri.


Menurutnya, mangsa yang berang mengejar suspek yang melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran.

“Suspek yang kelam kabut, gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan jatuh sebelum mangsa tiba tidak lama selepas itu.



“Sebaik tiba, mangsa cuba menahan suspek, tetapi lelaki itu yang ketakutan, melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dan beg serta gelang emas diragutnya,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.

Manoharan berkata, suspek berasal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pembantu juruukur itu ditahan anggota Pasukan Khas Ragut yang tiba tidak lama selepas itu.


Katanya, suspek yang juga positif dadah kini direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.


Jumaat, 5 Ogos 2011

Tragedi kejut dan terkejut

     


      Seorang ibu yang mahu mengejutkan anaknya untuk bersahur tergamam sejurus mendapati seorang lelaki tidur nyenyak bersama anak gadisnya dalam kejadian di Batu 18, Hulu Langat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika ibu mangsa masuk ke dalam bilik tidur anaknya yang berusia 14 tahun untuk mengejutkannya.

“Sebaik masuk, ibu mangsa terkejut apabila mendapati mangsa tidur bersama seorang lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun yang dipercayai teman lelakinya.


“Lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran ibu mangsa bingkas bangun lalu memohon maaf selain mengaku hanya tidur dan tidak melakukan apa-apa bersama mangsa,” katanya.

Katanya, ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan pengakuan lelaki itu mendesaknya untuk mengetahui apa yang berlaku.


“Atas desakan berterusan ibu mangsa, lelaki itu mengaku sudah melakukan hubungan seks dengan mangsa ketika ahli keluarga lain sedang tidur. “Lelaki itu juga mahu bertanggungjawab atas perbuatannya.


“Ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang melarikan diri membuat laporan di Balai Polis Batu 18, Hulu Langat,” katanya.