Rabu, 8 Februari 2012

Adakah manusia tidak akan masuk neraka jika hari hujan?


Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jemaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama. Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.
Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”. Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”
Ayahnya menjawab, “Anakku, ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..” Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati”. Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.
Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.
Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.
Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .
Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .
Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.
Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”
Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.
Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.
Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.
Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.
Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAHU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.
Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya.
Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3:
“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

Sumber : Klik SINI 

Jumaat, 3 Februari 2012

Bayi Dalam Rahim Sujud Diperdengar Kalamullah


Bayi Dalam Rahim Sujud Diperdengar Kalamullah

“Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka,
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul, kami menjadi saksi” agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lengah terhadap ini,” (Surah Al-A’raf: 172).
Maha Suci Allah, segala puji-pujian bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa serta Muhammad SAW itu adalah pesuruh-Nya dengan nikmat yang diberikan untuk lahir ke dunia sebagai seorang Muslim.
Saksikanlah bagaimana seorang bayi di dalam rahim ibunya yang kebiasaannya tidak duduk diam secara tiba-tiba tenang dan bersujud sejurus didengarkan ayat suci Al-Quran Al-Karim sudah cukup untuk menyedarkan ramai umat Islam betapa hebatnya mukjizat yang diturunkan kepada Muhammad SAW.
Rakaman video yang dimuat turun di laman Youtube itu jelas sekali mempamerkan keajaiban Kitabullah itu dan sememangnya fitrah manusia untuk tunduk kepada Allah serta firmanNya.
Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari juga menjelaskan bahawa setiap manusia itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah yang suci dari sebarang dosa dan seterusnya terpulang kedua ibubapanya untuk ‘mewarnainya’.
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, kecuali orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi,” (Riwayat Al-Bukhari).
Jelas sekali kebenaran riwayat para ulama yang berpendapat bahawa setiap insan sebelum lahir ke muka bumi ini sememangnya  sudah mengaku Allah SWT itu sebagai Tuhan sejak di alam roh (roohul mumayyiz) lagi.
Malah, diriwayatkan juga bahawa semua roh manusia telah berjanji kepada Allah Azza Wa Jalla untuk menyembahNya dan menjadi seorang hamba yang taat pada Tuhan mereka.
Dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri sendiri dan seluruh umat Islam untuk terus tidak lupa untuk sujud kepada Maha Pencipta agar kita semua bertemu kembali denganNya juga di dalam keadaan fitrah yang suci dari sebarang dosa, Insyaallah.
Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sama-samalah kita memperingati pengertian syahadah yang kita lafazkan setiap kali bersolat kepada Allah SWT, wallahu’alam.

Ahad, 29 Januari 2012

Kisah : Mati Terbakar Kerana Memperikaikan Hukum-hukum Allah





Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat kisah benar berlaku di Iskandariah Mesir, seorang wanita muda menghina hukum Allah SWT bab menutup aurat
dan mencabar kekuasaan Allah SWT akhirnya mati dibakar di dunia ini lagi.

Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah Mesir. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: "Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki.... " nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: "Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. " Jika ISLAM itu BENAR,tempatkan bilikku di Neraka ,Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali,  wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka.

Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah Rasu-lNya SAW. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Sahabat yang dimuliakan,
Bertaubatlah kita kepada Allah SWT kerana kematian akan datang bila-bila masa. Kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang kufur, siapakah orang yang kufur itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul 'alamin. Apabila  enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti seseorang ingin melawan arahan Tuhan. Jangan cuba mencabar Allah SWT dan menghina ajaran Islam pasti balasannya akan di terima di dunia lagi dan di akhirat telah tersedia seksaan api neraka yang amat dahsyat.

Sabtu, 7 Januari 2012

Perkara yang perlu dilakukan jika terlanjur


Gambar Hiasan

Janganlah sama sekali anda berasa sanggup untuk ditempatkan walau sekejap di neraka Allah. Mintalah sesungguh-sungguhnya supaya dijauhkan daripada tempat yang sangat dahsyat ini.

Saya cakap begini kerana ada waktunya yang anda melakukan maksiat secara sedar, sedangkan anda amat mengetahui setiap kemungkaran kepada Allah, balasannya sangatlah berat.

Anda bayangkan, semua unsur yang ada di dalam neraka dicipta daripada api. Bahkan bukan api seperti api yang kita temui di dunia, tetapi api yang dikatakan 70 kali ganda lebih dahsyat.

Pernahkah anda tersentuh besi panas seperti kuali atau periuk nasi yang panas? Atau pernahkah anda melhat bekas plastik atau botol plastik yang dimasukkan kuah atau air yang panas?


Anda akan melihat ketika itu bekas-bekas plastik tadi akan mengecut atau melebur disebabkan kepanasan cecair yang dikenakan kepadanya.

Maka itulah perbandingannya.

Bayangkan jika yang menjadi bekas plastik tadi adalah jasad anda yang segar bugar itu. Bayangkan yang akan dituangkan cecair panas ke atasnya adalah wajah anda yang cantik dan manis itu. Diceritakan, ahli neraka akan dituangkan cecair panas melalui kepalanya yang panasnya bahan tersebut hingga menyebabkan muka mereka melebur, isi perut mereka hancur, dan kulit-kulit tubuh mereka mencair sehngga tersangkut di buku lali dan tumit mereka.


Lalu berjalanlah mereka dengan menyeret kulit-kulit tubuh yang melekat di kaki seperti berjalannya pengantin perempuan yang mengheret busana labuh.

Maka jika sudah terlanjur berdosa, segeralah memohon ampun kepadaNya. Allah maha Penerima Taubat. Dia akan mengampunkan hambaNya yang ikhlas memohon keampunanNya.

Janganlah sekali-kali kita berputus asa daripada pertolongan Dia Yang Maha Menolong ini.

Ya Allah, rahmatilah kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Merahmati, dan jangalah Engkau menyiksa kami kerana sesungguhnya Engkau amat berkuasa ke atas kami.


Jumaat, 6 Januari 2012

Salah tafsiran hal mengumpat





SERINGKALI kita mendengar: “Aku bukan nak mengumpat, tapi ini cerita betul, sumpah aku tak tipu...” Kata-kata seperti ini atau yang seumpamanya dimanfaatkan oleh pengumpat sebagai pembuka bicara. Sedar atau tidak, sebenarnya mereka sudah melakukan dosa besar dan berhadapan dengan ancaman Allah. Hal ini berlaku kerana mereka memberikan tafsiran salah mengenai mengumpat. Bagi mereka, bercakap perkara benar yang dibenci pelakunya pada orang lain bukan dikategorikan sebagai mengumpat.


Apa itu mengumpat? 
Mengumpat dalam bahasa Arab adalah ‘ghibah’. Ia berasal daripada perkataan ‘ghaaba’ iaitu hilang daripada pandangan. Disebut ‘ghibah’ kerana perbuatan mengumpat dilakukan tanpa kehadiran orang yang diumpat. (Lihat: 'Umdat al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari oleh al-'Aini, 8/208).

Al-Imam al-Munawi berkata: “Ghibah (mengumpat) adalah menyatakan keaiban seseorang di belakangnya sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau isyarat.” (Lihat: Faidh al-Qadir Sayarh al-Jami' al-Shaghir oleh Zainuddin al-Munawi, 3/166).


Nabi sallallaahu 'alaihi wa sallam (s.a.w) pernah menjelaskan mengenai erti mengumpat. Sabda Baginda: “Mengumpat adalah menyebut sesuatu perkara yang tidak disukai saudaramu (di belakangnya). Lalu seorang sahabat Baginda bertanya: Apa pandanganmu sekiranya apa yang aku sebutkan benar-benar ada saudaraku? Nabi menjawab: “Jika engkau menyebut sesuatu yang benar-benar ada pada saudaramu (sedang dia tidak menyukainya), maka kamu sudah mengumpatnya. Jika sesuatu yang kamu sebutkan tidak berlaku ke atas saudaramu, maka kamu sudah memfitnahnya.” (Hadis riwayat Muslim, no: 2591)

Saya anggap penjelasan Nabi sangat mudah difahami. Semua perkara dibenci saudara kita untuk didedahkan walaupun ia benar, maka usaha mendedahkannya dikategorikan Nabi sebagai mengumpat.

Ancaman Allah:

Firman Allah, maksudnya: “Dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?
Maka tentulah kamu berasa jijik padanya. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, 49:12)

Firman Allah lagi: Maksudnya: “Kecelakaan bagi pengumpat dan pecela.” (Surah al-Humazah, 104:1)

Sabda Nabi maksudnya: “Sesiapa yang menyelamatkan daging (kehormatan) saudaranya daripada diumpat, nescaya Allah akan membebaskan dia daripada neraka.” (Hadis riwayat Ahmad, no: 27062)

Ini bererti sesiapa yang mengumpat, balasannya neraka Allah, na'uzubillah. Bahkan banyak lagi hadis Nabi yang mencela pengumpat.

Mengumpat yang dibolehkan:

Al-Imam al-Nawawi menyenaraikan enam keadaan yang dibolehkan mengumpat.
(Lihat al-Azkar oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi, hal. 208).

1. Ketika dizalimi. Orang yang dizalimi harus menceritakan mengenai orang yang menzaliminya kepada polis, peguam, hakim atau pihak berkuasa agar tindakan diambil.

2. Ketika memohon bantuan untuk mencegah kemungkaran. Jika kita terlihat maksiat, tetapi tiada upaya untuk mencegahnya. Seperti tiada ilmu untuk menegur maksiat tersebut. Maka, kita boleh memohon pertolongan orang yang berilmu untuk mencegah maksiat tersebut dengan ilmunya.

3. Ketika meminta fatwa. Seperti isu rumah tangga yang perlukan penyelesaian melalui fatwa hakim atau mufti.

4. Ketika mengingatkan seseorang daripada bahaya. Seperti menasihat penuntut ilmu agar tidak mengambil ilmu dari orang yang jahil.

5. Ketika menegur perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan.
Seperti teguran peminum arak, kaki judi dan lain-lain.

6. Ketika menjelaskan tanda pengenalan diri seseorang: Seperti kita ingin mencari seseorang yang kita terlupa namanya, tetapi kita hanya ingat sifatnya yang kurang sempurna. Lalu dinyatakan sifat tersebut agar dapat menemuinya.

 Al-Syeikh Salim Al-Hilali berkata: “Keharusan mengumpat untuk keadaan-keadaan di atas adalah hukum susulan bukan hukum asal. Oleh itu, jika hilang sebab-sebab yang membolehkan mengumpat, maka dikembalikan hukumnya kepada hukum asal iaitu haramnya mengumpat.

Katanya lagi, “Dibolehkan mengumpat kerana darurat. Oleh itu, perbuatan mengumpat itu diukur sesuai dengan keperluannya sahaja. Maka tidak dibolehkan memperluaskan bentuk- bentuk di atas. Bahkan orang yang berada dalam salah satu daripada keadaan darurat di atas (sehingga dia dibolehkan mengumpat) hendaklah bertakwa kepada Allah dan janganlah dia menjadi termasuk di kalangan orang yang melampaui batas.” (Lihat Bahjat al-Naadzirin Syarh Riyadh al-Solihin oleh Salim al-Hilali, 4/35-36).

Isu dan tindakan kita:

Apa yang membimbangkan umpatan pada hari ini berunsur mengapi-apikan antara satu dengan yang lain. Bermula daripada isu politik negara yang membabitkan pemimpin kerajaan dan pembangkang sehingga isu anak melayu yang berkahwin sesama jantina, isu pelajar pintar yang dikatakan berubah sikap, isu gosip di kalangan artis dan lain-lain, kebanyakannya disebarkan dalam bentuk mendukacitakan. Bahkan dilihat seolah-olah melaga-lagakan sesama manusia.

Takuti ancaman Nabi:

Maksudnya: “Tidak akan masuk ke syurga pengadu domba.” (Hadis riwayat Muslim, no: 06).

Kita perlu bertindak lebih matang dan menjaga prinsip sebagai seorang Muslim dalam mengulas apa jua isu agar tidak tergolong di kalangan pengumpat dan pengadu domba, apatah lagi pendusta. Memastikan kebenaran maklumat yang diperoleh, bersangka baik, menasihati secara berhadapan, membetulkan kesalahan secara umum, bersabar dan berdoa adalah jalan keluar terbaik.

Ruangan minda kali ini diakhiri dengan memetik pesanan Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau berdiam diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no: 6018) 





Sumber : SINI

Video Live : Jawapan Lengkap Nur Amalina Che Bakri


Jawapan Lengkap Nur Amalina Che Bakri

Semalam, bermula jam 5.17 petang, sekumpulan wartawan tempatan berada di rumah ibu pelajar cemerlang 17A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005, Nur Amalina Che Bakri bagi mendengar sendiri jawapannya terhadap semua isu yang tersebar di media sosial.
Perbualan melalui sidang video Skype lebih sejam sangat mesra malah penuntut Universiti Edinburgh, United Kingdom itu menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.
Kini berusia 24 tahun, gadis yang lahir pada 7 Disember ini sekali lagi menjadi tajuk utama akhbar tempatan semalam; genap setahun selepas kisahnya dipaparkan mengenai dakwaan dia gagal dalam pengajiannya di luar negara  dan pulang senyap-senyap ke rumah ibunya.
Khabar angin itu bagaimanapun tidak benar. Sekali lagi, minggu ini, kisah gadis pintar ini hangat diperkatakan.
Media sosial sejak beberapa hari lalu hangat memperkatakan tentang isu gambar Nur Amalina mengenakan ‘legging’ yang diambil dari arkib foto akaun Facebook miliknya.
Mungkin ini harga yang perlu dibayar menjadi seorang ikon yang cemerlang dalam pendidikan sehingga menjadi rutin tahunan yang perlu dihadapi keluarganya.
Sebelum mendengar penjelasan Nur Amalina, perkembangan terkini gadis ini harus diberi perhatian kerana kini turut terlibat dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk dimuatkan dalam jurnal perubatan di Eropah.
Apa yang membanggakan, selain pengajian perubatan, Nur Amalina yang memperolehi keputusan cemerlang, turut ditawarkan mengambil ijazah tambahan dalam bidang farmakologi dalam tempoh setahun berbanding empat tahun.
Pastinya bukan mudah untuk bergelut dengan dua ijazah apatah lagi di negara asing. Berikut adalah cerita Nur Amalina:

Sesuai dengan anugerah sebagai pelajar cemerlang, Nur Amalina juga bijak menangani isu yang menyelubunginya dan tak mudah melatah. Langkah pertama dilakukan ialah menghubungi ibunya, Sabariah Hasaan bagi mendapatkan nasihat.
Ini pula penjelasan Nur Amalina terhadap isu foto ‘legging’ dan bersama rakan lelaki yang tersebar luas di internet. Antaranya foto yang tersebar adalah koleksi peribadi dan diambil tanpa kebenarannya dengan niat tidak baik termasuk untuk mengaibkannya:
Menganggap dirinya sebagai seorang yang ekspresif dalam fesyen, ia tidak pula dianggap sebagai lesen untuk dia melampaui batas. Legging itu tampak seperti mendedahkan kulitnya, walhal ia dibeli oleh ibunya.
Nur Amalina turut dikecam kerana didakwa melucutkan tudung sebaik menjejakkan kaki di perantauan. Ramai menganggap Nur Amalina sengaja menanggalkan tudung bagi menyesuaikan diri dengan negara Barat. Seeloknya, kita dengar apa justifikasi Nur Amalina:
Menurut Nur Amalina, dia bersedia untuk menerima teguran yang diberikan untuk dijadikan panduan serta bimbingan hidupnya namun biarlah ia dilakukan secara berhemah. Dia turut memohon agar semua foto milik peribadinya dibuang dari internet kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi mengaibkan apatah lagi jika yang melihatnya tidak menerima gambaran sebenar dan lebih jelas.

Nur Amalina melanjutkan pengajian ke United Kingdom sejak lapan tahun lalu bagi menduduki peperiksaan A Level melalui tajaan Bank Negara Malaysia.
Disebalik khabar angin berniat negatif mendakwa pelajar itu sudah pulang ke Malaysia kerana gagal dalam penganjiannya pada 2009, Nur Amalina terus memperolehi pelbagai kecemerlangan dalam bidang yang dipelajarinya. Antaranya:
June – sekarang:
Medical Research Intern
Edinburgh Breast Unit WGH & Cancer Research UK, Edinburgh
Feb – May 2010
ERASMUS Research Intern
CHDR, The Netherlands
Aug – Sept 2009
District Medical Officer
Meru District Hospital, Tanzania
Bertugas di wad bersalin, pediatrik, HIV dan kecemasan.
Pada ketika kita mencemuh tentang betapa tidak Islamnya Nur Amalina, dia turut melakukan khidmat masyarakat mengajar Bahasa Inggeris bukan di kondominium mahupun banglo berkolam renang, sebaliknya di Orphanage, Tanzania dan Zanzibar, pada 2009.
Dia juga mengajar bahasa yang sama sejak 2008 hingga kini di Bergamo Scuole Elementare, Itali.
Bagi kerja kerja penyelidikan, Nur Amalina kini giat menyiapkan draf bagi bab terakhir kertas “Reproductive: Obstetrics and Gynaecology” in ABC of Medically Unexplained Symptoms 2011/2012
di bawah seliaan Dr Andrew Horne, Consultant Gynaecologist, Royal Infirmary of Edinburgh, University of Edinburgh.
She is writing a book chapter on medically unexplained symptoms in obstetrics and gynaecology, which involved chronic pelvic pain, dyspareunia and vulvodynia.
Sementara kita semua hanya hebat menulis di blog/twitter/facebook seperti aku, Nur Amalina juga dalam proses menyiapkan manuskrip untuk satu terbitan dalam Journal of Clinical Oncology bagi kajiselidik “The resection of lymph nodes and the consequences in survival rate of patients with breast cancer (2011/12)” di bawah pengawasan Prof Mike Dixon, Professor of Surgery and Consultant Surgeon, Edinburgh Breast Unit, Western General Hospital.
Hakikatnya, disebalik sifat rendah diri yang ditonjolkan Nur Amalina sepanjang video chat itu, aku terasa kita seharusnya menyokong dan sentiasa mendoakan kejayaan dia kerana dia adalah harapan untuk generasi akan datang.
Dan pada Nur Amalina, aku sendiri berharap dan berdoa akan terus tintakan dalam hati dan ingatan – ajaran agama serta budaya kita dengan menjadikan kes-kes terdahulu sebagai teladan.
Dan pada yang terus mencemuh gadis ini, adakah anda semua tahu akan pencapaian gadis ini? Makan atau tidak gadis ini di perantauan? Siapa yang menjenguk dirinya bila sakit? Bukankah kita semua belajar itu semua sebagai sebahagian dari adab kita?
Marilah kita memdoakan yang terbaik buat nur amalina dan semoga di kuatkan imannya dengan ajaran allah swt serta menjadi wanita yang solehah.aminn.....