Rabu, 21 Disember 2011

DIVIDEN dan BONUS ASB 2011




Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.65 sen seunit dan Bonus 1.15 sen seunit bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Seramai 7.3 juta pemegang saham, yang kini memegang lebih 95.9 bilion unit ASB, akan juga menerima bonus sebanyak 1.15 sen. Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan ini melibatkan pembayaran sejumlah RM7.04 bilion dan bonus sebanyak RM628.29 juta.




Hingga Khamis lalu, kata beliau, skim itu mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM7.19 bilion. "Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 bilion, atau 56.9 peratus daripada pendapatan kasar, manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM2.25 bilion atau 31.3 peratus," katanya pada satu taklimat media di sini Isnin.

Beliau berkata baki sebanyak 11.8 peratus, atau RM0.85 bilion diraih daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan-pelaburan lain. Ahmad Sarji berkata pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ini akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit, dan pemegang unit boleh mengemaskini buku pelabur ASB masing-masing mulai 3 Januari tahun depan.

Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan mulai 21 Dis, 2011 hingga 2 Januari, 2012, untuk mempermudah pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus, katanya.

Beliau berkata prestasi ASB dalam tahun 2011 memuaskan meskipun pada suku terakhir tahun ini, pasaran saham telah didagangkan dalam suasana tidak menentu kerana dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi AS dan krisis hutang di Eropah.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB akan memastikan ia bukan sahaja terus membayar dividen saban tahun malah juga menjana pertumbuhan bagi masa depan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???