Ahad, 18 Disember 2011

Kau Sampah Masyarakat





Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz ke dalam sebuah bekas.

Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar.

Malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Maka akhirnya batu besar ini ketinggalan daripada dimasukkan ke dalam bekas.

Batu besar tidak dapat dimasukkan kerana bekas tadi sudah hampir penuh dengan batu-batu kecil dan pasir yang diisikan awal tadi.


Anggaplah bekas yang mahu diisikan tadi adalah kehidupan, lelaki yang memasukkan batu itu adalah kita, sedang batu-batu itu sendiri adalah semua perkara yang dilakukan di dalam kehidupan kita.


Apakah batu besar dalam kehidupan kita?

Apakah pula batu kecil dan pasir?

Batu besar adalah perkara-perkara yang sangat penting dan bermakna dalam kehidupan kita. Batu-batu kecil pula perkara yang penting manakala pasir adalah perkara yang kurang penting.

Namun, jika kita mengisi hidup ini seperti yang dilakukan oleh lelaki tadi, maka jadilah kehidupan kita seperti bekas batu yang diisikan olehnya. Hanya pasir dan batu kecil yang sempat terisi, manakala batu besar tidak muat.

Sedangkan yang sepatutnya diisikan sejak awal adalah batu besar, kemudiannya barulah diikuti dengan batu kecil dan pasir, bergantung kepada lebihan ruang yang ada.

Bekas tadi tidak akan berubah saiznya, sama juga seperti kehidupan kita. Setiap hari masa yang ada 24 jam, setiap minggu pula 7 hari. Begitulah kitarannya akan terus berputar selama empat minggu yang menggenapkan sebulan hingga bulan-bulan yang terkumpul sebanyak 12 pula akan mencukupkan setahun.

Namun, kebijaksanaan kitalah yang perlu dikerahkan demi mengisi ruang kehidupan yang sempit ini.

Apakah perkara penting dalam kehidupan kita?

Bila kita beli telefon bimbit baru, kita akan teliti buku manual yang disediakan oleh syarikat telefon bimbit berkenaan untuk memahami cara penggunaan telefon yang kita beli.

Begitu jugalah dengan kehidupan manusia.

Perlu dirujuk kepada buku manual yang dibuat oleh Pencipta manusia.

Maka Al-Qur’an telah menyebut bahawa terdapat satu perkara penting dalam hidup manusia, iaitu menjadi hamba kepada Allah.

Firman Allah,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Beribadat kepada Allah dalam konteks kita sebagai seorang Islam tidaklah terbatas kepada solat, membaca Al-Qur’an, puasa, sedekah dan haji sahaja. Sebaliknya seluruh hidup kita bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur semula boleh jadi ibadah bila kena caranya.

Kerana itulah apabila baginda nabi berpesan kepada kita dengan pesannya, “Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan”, sangat perlu kepada kita untuk faham bahawa hidup kita di dunia ini akan berakhir. Sedangkan hidup di akhirat tidak akan berakhir.

Apa yang kita isi dalam kehidupan kita sangat penting untuk diperhatikan.

Jika tersalah hitung, bekas kehidupan bukan sahaja diisi oleh batu kecil dan pasir, malah ditimbuni sampah sarap!

Sumber : SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???