Jumaat, 27 April 2012

Manfaat Terbesar Amalkan Ayat Kursi

Manfaat Terbesar Amalkan Ayat Kursi

Allah S.W.T. telah menurunkan kitab suci Al-Quran untuk menjadi pegangan dan pedoman kepada para hambanya sepanjang hidup menjadi khalifah di muka bumiNya sebelum terjadi kiamat, yang manusia sendiri tidak ketahui bila waktunya.
Sabda Rasulullah S.A.W, “Aku tinggalkan kepada umatku dua perkara. Jika mereka berpegang teguh kepadanya maka mereka tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al Quran dan as Sunnah.”
Di dalam Al-Quran, terdapatnya satu ayat yang dapat memberikan seribu syafaat dan manfaat buat manusia jika sentiasa diamalkan. Ia adalah ayat Kursi.
Ayat Kursi telah diturunkan selepas hijrah dan sejarah mencatatkan bahawa semasa turunnya ayat ini ia diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi takut kerana adanya satu halangan dalam usaha mereka menyesatkan umat manusia.
Sesiapa yang sering membaca ayat Kursi akan dikasihi dan dilindungi oleh Allah S.W.T sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai tambahan kepada mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah S.W.T daripada gangguan serta hasutan syaitan.
“Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya, yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)” Kursi; 225.
Antara syafaat dan manfaat yang didapati:
1. – Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, Insyaallah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah S.W.T.
2. – Mengikut keterangan dari kitab Asraarul Mufidah, sesiapa yang mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikan pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.
3. – Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, sesiapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, Insyaallah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
4. – Rasullullah s.a.w bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya”.
5. – Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai Allah dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad.
6. – Mereka yang beramal dengan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan dan hasutan syaitan.
7. – Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
8. – Mengamalkan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanan.
9. – Ayat Kursi yang dibaca dengan khusyuk, Insyaallah akan menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
10. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah akan mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh.
11. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi di akhir setiap sembahyang fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.
12. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
13. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi ketika kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
14. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi di akhir sembahyang, Allah akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
15. – Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
“Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan KekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Kursi; 225.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???