Rabu, 27 Julai 2011

Berlakon kena culik untuk wang tebusan RM1.5 juta



      Helah sepasang kekasih yang kononnya diculik oleh seorang penjenayah untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM1.5 juta terbongkar apabila kedua-duanya ditahan selepas didapati sengaja mengada-adakan cerita tersebut.
Pasangan yang merupakan graduan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kajang dekat sini itu ditahan di sebuah hotel di Pulau Pinang selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat bapa wanita berusia 23 tahun itu pada 21 Julai lalu.
Difahamkan, teman lelaki wanita tersebut merupakan warga Nigeria berusia lingkungan 20-an manakala wanita tempatan itu berasal dari Kuching, Sarawak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar) berkata, bapa mangsa yang merupakan akauntan di Sarawak berusia 53 tahun terus membuat laporan di Balai Polis Kuching sebaik menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 3 petang mengatakan pasangan itu diculik.
Katanya, dalam aduannya, kedua-dua mangsa didakwa diculik pada pukul 11.30 malam sehari sebelum laporan dibuat.
“Penculik didakwa meminta wang tebusan AS$500,000 (RM1.5 juta) untuk membebaskan pasangan tersebut.
“Dua hari kemudian, polis telah menyerbu sebuah bilik hotel di Pulau Pinang sebelum menahan pasangan kekasih itu pada pukul 8 malam bagi membantu siasatan. Mereka kini direman sehingga Sabtu ini di Balai Polis Kajang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapati pasangan itu telah mereka-reka cerita bagi mendapatkan wang daripada akauntan tersebut untuk menampung perbelanjaan seharian mereka.
Menurut Mohd. Adnan lagi, siasatan lanjut mendapati mereka telah tamat pengajian di IPTS tersebut dan sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???