Rabu, 21 Disember 2011

DIVIDEN dan BONUS ASB 2011




Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.65 sen seunit dan Bonus 1.15 sen seunit bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Seramai 7.3 juta pemegang saham, yang kini memegang lebih 95.9 bilion unit ASB, akan juga menerima bonus sebanyak 1.15 sen. Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan ini melibatkan pembayaran sejumlah RM7.04 bilion dan bonus sebanyak RM628.29 juta.




Hingga Khamis lalu, kata beliau, skim itu mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM7.19 bilion. "Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 bilion, atau 56.9 peratus daripada pendapatan kasar, manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM2.25 bilion atau 31.3 peratus," katanya pada satu taklimat media di sini Isnin.

Beliau berkata baki sebanyak 11.8 peratus, atau RM0.85 bilion diraih daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan-pelaburan lain. Ahmad Sarji berkata pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ini akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit, dan pemegang unit boleh mengemaskini buku pelabur ASB masing-masing mulai 3 Januari tahun depan.

Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan mulai 21 Dis, 2011 hingga 2 Januari, 2012, untuk mempermudah pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus, katanya.

Beliau berkata prestasi ASB dalam tahun 2011 memuaskan meskipun pada suku terakhir tahun ini, pasaran saham telah didagangkan dalam suasana tidak menentu kerana dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi AS dan krisis hutang di Eropah.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB akan memastikan ia bukan sahaja terus membayar dividen saban tahun malah juga menjana pertumbuhan bagi masa depan.


Penjaga Gol Dapat Kad Kuning Kerana Selamatkan Kucing



Seorang penjaga gol sebuah kelab bolasepak di Crotia, Ivan Banovic, mendapat kad kuning semata-mata kerana membawa keluar seekor kucing dari padang.

Kejadian itu berlaku semasa perlawanan Division I Crotia di antara kelab Sibenik dan Medjimurje Cakovec. Kisah ini menjadi liputan luas di media-media Crotia.


Ivan Banovic merasa terkejut semasa pertandingan memasuki minit ke-20 kerana tiba-tiba ada seekor kucing berjalan ke arah tiang gol yang dikawalnya. Banovic (25) mengangkat haiwan tersebut dengan penuh kasih sayang dan kemudian meletaknya di tempat selamat berdekatan papan skor.

Namun, pengadil menganggap tindakan Banovic tidak sepatutnya dan segera mengeluarkan kad kuning buat pemain itu dengan alasan, meninggalkan padang tanpa izin.

Tindakan pengadil itu menjadi kemarahan penonton, mereka mengejek pengadil tu.Penonton menuduh pengadil itu tidak mempunyai perasaan kemanusian.

Ahad, 18 Disember 2011

Kau Sampah Masyarakat





Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz ke dalam sebuah bekas.

Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar.

Malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Maka akhirnya batu besar ini ketinggalan daripada dimasukkan ke dalam bekas.

Batu besar tidak dapat dimasukkan kerana bekas tadi sudah hampir penuh dengan batu-batu kecil dan pasir yang diisikan awal tadi.


Anggaplah bekas yang mahu diisikan tadi adalah kehidupan, lelaki yang memasukkan batu itu adalah kita, sedang batu-batu itu sendiri adalah semua perkara yang dilakukan di dalam kehidupan kita.


Apakah batu besar dalam kehidupan kita?

Apakah pula batu kecil dan pasir?

Batu besar adalah perkara-perkara yang sangat penting dan bermakna dalam kehidupan kita. Batu-batu kecil pula perkara yang penting manakala pasir adalah perkara yang kurang penting.

Namun, jika kita mengisi hidup ini seperti yang dilakukan oleh lelaki tadi, maka jadilah kehidupan kita seperti bekas batu yang diisikan olehnya. Hanya pasir dan batu kecil yang sempat terisi, manakala batu besar tidak muat.

Sedangkan yang sepatutnya diisikan sejak awal adalah batu besar, kemudiannya barulah diikuti dengan batu kecil dan pasir, bergantung kepada lebihan ruang yang ada.

Bekas tadi tidak akan berubah saiznya, sama juga seperti kehidupan kita. Setiap hari masa yang ada 24 jam, setiap minggu pula 7 hari. Begitulah kitarannya akan terus berputar selama empat minggu yang menggenapkan sebulan hingga bulan-bulan yang terkumpul sebanyak 12 pula akan mencukupkan setahun.

Namun, kebijaksanaan kitalah yang perlu dikerahkan demi mengisi ruang kehidupan yang sempit ini.

Apakah perkara penting dalam kehidupan kita?

Bila kita beli telefon bimbit baru, kita akan teliti buku manual yang disediakan oleh syarikat telefon bimbit berkenaan untuk memahami cara penggunaan telefon yang kita beli.

Begitu jugalah dengan kehidupan manusia.

Perlu dirujuk kepada buku manual yang dibuat oleh Pencipta manusia.

Maka Al-Qur’an telah menyebut bahawa terdapat satu perkara penting dalam hidup manusia, iaitu menjadi hamba kepada Allah.

Firman Allah,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Beribadat kepada Allah dalam konteks kita sebagai seorang Islam tidaklah terbatas kepada solat, membaca Al-Qur’an, puasa, sedekah dan haji sahaja. Sebaliknya seluruh hidup kita bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur semula boleh jadi ibadah bila kena caranya.

Kerana itulah apabila baginda nabi berpesan kepada kita dengan pesannya, “Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan”, sangat perlu kepada kita untuk faham bahawa hidup kita di dunia ini akan berakhir. Sedangkan hidup di akhirat tidak akan berakhir.

Apa yang kita isi dalam kehidupan kita sangat penting untuk diperhatikan.

Jika tersalah hitung, bekas kehidupan bukan sahaja diisi oleh batu kecil dan pasir, malah ditimbuni sampah sarap!

Sumber : SINI