Selasa, 24 April 2012

Bank Halang Warga Emas Tunai Baucar BR1M




PEKAN: “Saya merayu pihak berkaitan yang dapat membantu saya mendapatkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas pihak bank enggan menerima kad pengenalan lama walaupun selepas disahkan pegawai di pejabat Daerah Pekan.
“Urusan menukar baucar BR1M bernilai RM500 perlu dilakukan sebelum 15 Mei depan iaitu tarikh akhir tuntutan bantuan kerajaan itu dan sekiranya tidak dilakukan, saya tidak mungkin mendapat wang berkenaan,” kata warga emas, Zaliha Hussain, 69.

Zaliha yang tinggal di perumahan banjir Batu Lapan, Lepar, dekat sini, menerima surat kelulusan bantuan BR1M bagi pihak ibunya, Halimah Awang Isa, 91, minggu lalu dan dia ke pejabat Daerah Pekan bagi mendapatkan baucar dan pengesahan kad pengenalan ibunya sebelum ke bank bagi urusan menukar baucar berkenaan.


Bagaimanapun, impian Zaliha untuk mendapatkan wang RM500 itu tidak menjadi kenyataan apabila pihak bank tidak membenarkan penerima BR1M menggunakan kad pengenalan lama sebaliknya hanya pemegang MyKad saja yang dibenarkan membuat tuntutan.

Walaupun baucar itu tertulis namanya untuk mewakili ibunya bagi bantuan berkenaan, surat pengesahan BR1M adalah atas nama ibunya.


“Selepas gagal membuat penukaran, saya sekali lagi ke pejabat daerah bagi mendapatkan kepastian dan pegawai terbabit mendakwa sebelum ini kes yang sama banyak berlaku tetapi ia selesai tanpa sebarang masalah.



“Saya pergi ke dua bank di sini dan Kuantan untuk menuntut wang, namun semuanya tidak mahu meluluskan tuntutan dengan alasan sama,” katanya.

Menurutnya, harapan untuk ibunya yang lumpuh untuk mendapatkan wang BR1M tidak akan menjadi kenyataan sekiranya masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan sebelum 15 Mei depan.


Zaliha berkata, wang RM500 itu terlalu besar buat dia sekeluarga terutama bagi menampung perbelanjaan menguruskan ibunya termasuk membeli lampin pakai buang yang digunakan setiap hari.

Katanya, saranan pihak bank supaya kad pengenalan ibunya ditukar kepada MyKad agak mustahil kerana ibunya bukan saja tidak mampu berjalan tetapi turut mengalami masalah hilang ingatan.


“Wang RM500 mungkin kecil bagi golongan berada, tidak bagi saya sekeluarga yang tidak mempunyai pendapatan terutama selepas suami yang mengidap penyakit lemah sendi tidak mampu bekerja sejak lebih tiga tahun lalu.


“Saya kini hanya mampu berserah dan berdoa berharap ada pihak yang sudi tampil membantu menyelesaikan masalah ini sebelum 15 Mei iaitu tarikh tutup menukar BR1M,” katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud berkata, dia akan menyiasat apa yang berlaku bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara bijak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???