Selasa, 24 April 2012

Geng Jamban Diberkas

Gambar Hiasan

GEORGETOWN: Gelaran Geng Jamban sesuai untuk dua lelaki yang menjadikan pengguna tandas sebagai mangsa dengan mencuri pelbagai barang berharga dalam poket seluar yang digantung.
Bagaimanapun, perbuatan mereka itu terbongkar apabila mereka ditahan jam 10 malam kelmarin selepas polis melakukan pemeriksaan dan menemui pelbagai dokumen dan juga barang milik mangsa mereka.

Dua lelaki terbabit masing-masing berusia 34 dan 21 tahun, ditahan anggota polis ketika berada dalam kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kerana kelihatan mencurigakan.


Difahamkan, seorang daripada mereka adalah bekas pelajar kolej di Seberang Prai, tetapi diberhentikan kerana masalah disiplin.

Menurut sumber, dua lelaki berkenaan menjadi buruan sejak hampir setahun lalu kerana aktif menjalankan kerja samun dengan menyasar pengguna tandas awam di masjid, lapangan terbang dan hentian rehat dan rawat (R&R).


“Kebanyakan mangsa mereka adalah pengguna tandas yang menggantung seluar ketika berada dalam tandas dan lelaki berusia 21 tahun terbabit dianggap pakar menyeluk poket seluar tanpa disedari pemiliknya.



“Rakannya yang berusia 34 tahun menunggu dalam kereta dan selepas memperoleh barang berharga, mereka terus melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika ditahan, polis menemui beberapa dokumen penting dan kad kredit milik mangsa.


“Polis juga menemui dokumen lain iaitu kad pengenalan milik dua mangsa dengan satu daripadanya dilaporkan hilang oleh pemiliknya di Masjid Wilayah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Satu lagi milik seorang lelaki yang membuat laporan selepas kad kreditnya yang hilang, digunakan di sebuah pasar raya di Tanjung Tokong,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan dua lelaki berkenaan.


“Setakat ini kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung pembabitan kedua-dua suspek terbabit dalam kes samun dan curi ini. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut.


“Hasil siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan mereka aktif melakukan kegiatan curi dengan menyasarkan pengguna tandas awam,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan pesanan anda ???